Polis rampas rokok tanpa kelulusan Kastam bernilai RM478,720

Mohamad melihat van yang dirampas Jumaat lalu.
Mohamad melihat van yang dirampas Jumaat lalu.
A
A
A

SEREMBAN - Polis merampas 3,200 karton rokok pelbagai jenama tanpa kelulusan Jabatan Kastam DiRaja Malaysia (Kastam) bernilai RM478,720 termasuk harga barang dan jumlah cukai di tiga lokasi berasingan di sini Jumaat lalu.

Pemangku Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Mohamad Mat Yusop berkata, rampasan tersebut dilakukan di kawasan parkir Taman Tunku Jaafar Industrial Park, di sebuah lot kedai Taman Tunku Jaafar Industrial Park dan sebuah rumah di Taman Sri Lubang, Labu.

"Serbuan antara jam 8 pagi hingga 12.30 tengah hari itu telah berjaya menahan enam lelaki berumur antara 30-an sehingga 50-an.

"Rampasan pertama meliputi lima van berisi rokok dengan jumlah keseluruhan 1,876 karton rokok dan rampasan kedua sebanyak 1,324 karton rokok dengan sebuah lori jenis Daihatsu yang menjadikan keseluruhan rampasan 3,200 karton rokok pelbagai jenama," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Negeri Sembilan hari ini.

Mohamad menunjukkan rokok yang dirampas.
Mohamad menunjukkan rokok yang dirampas.

Mohamad berkata, rampasan lain terdiri daripada empat kereta termasuk sebuah pacuan empat roda pelbagai jenis, dokumen perniagaan, komputer riba, telefon bimbit, penyata bank, buku cek, buku bank dan wang tunai sebanyak RM5,640.

"Kesemua yang ditangkap direman selama 12 hari bermula Sabtu (13 April) lalu hingga Rabu depan (24 April) di bawah Seksyen 116 (C) Akta Kastam 1967.

"Kes disiasat di bawah Seksyen 135(1)(e) Akta Kastam 1967 iaitu kesalahan kerana menyeludup yang boleh dihukum mengikut Seksyen 135(1)(iii)(aa) akta sama yang memperuntukkan hukuman denda tidak kurang 10 kali nilai barangan dan tidak melebihi 20 kali nilai barangan atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan," katanya.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, rokok yang dirampas ini dipercayai untuk pasaran tempatan dan luar Negeri Sembilan.