MHC cadang tiga panduan 100 Hari Pertama Menteri Kesihatan

Dr Zaliha - Foto Bernama
Dr Zaliha - Foto Bernama
A
A
A

SHAH ALAM - Gabungan Kesihatan Malaysia (MHC) mencadangkan tiga prinsip panduan yang perlu dilaksanakan oleh Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa bagi tempoh 100 Hari Pertama perkhidmatan beliau dalam Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

MHC dalam satu kenyataan pada Selasa berkata, saranan tersebut adalah meneruskan proses reformasi kesihatan, menjaga kebajikan petugas kesihatan dan meningkatkan tumpuan kepada penentu sosial kesihatan.

Menurutnya, dengan ancaman berganda pandemik Covid-19 di samping kemelesetan ekonomi, KKM mesti menyediakan sistem penjagaan kesihatan awam yang ampuh untuk menghadapi lonjakan pesakit yang memerlukan rawatan kesihatan.

“Dalam jangka masa panjang, kita mesti memperkasakan sistem kesihatan untuk menjadi lebih berdaya tahan.

“Cadangan untuk meningkatkan perbelanjaan kesihatan awam kepada lima peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) menjelang 2030 perlu diteruskan.

“Kami juga menggesa menteri untuk meneruskan kerja Kertas Putih Kesihatan dan Rang Undang-undang (RUU) Kawalan Produk Tembakau dan Merokok 2022,” katanya.

Sementara itu, gabungan itu menggesa menteri untuk menyelesaikan isu semua profesional kesihatan kontrak seperti doktor gigi, ahli farmasi, jururawat, paramedik dan profesional kontrak lain, secara serentak.

Ujarnya, penambahbaikan dari segi laluan kerjaya mereka perlu dibuat termasuk biasiswa melanjutkan pelajaran, syarat perkhidmatan lebih adil dan persekitaran kerja lebih baik, termasuk masa untuk berehat.

Artikel Berkaitan:

“Untuk ini, kami mencadangkan agar penubuhan Suruhanjaya Pembaharuan Kesihatan dipercepat bagi memberi panduan tentang cara memperkukuh modal insan untuk kesihatan di Malaysia,” jelasnya.

MHC dalam kenyataan sama berkata, KKM tidak boleh tertumpu pada penjagaan sakit atau kesihatan sahaja, sebaliknya perlu juga menjaga kesihatan dan kesejahteraan rakyat.

“Istilah ‘kesihatan’ sangat luas, ia termasuk pendidikan awal kanak-kanak, pemakanan, hak pekerja, perlindungan sosial dan juga kualiti udara.

“Kebanyakan faktor ini tidak diselia oleh KKM, justeru KKM mesti menjalinkan kerjasama kukuh dengan kementerian atau agensi berkaitan dan bekerjasama untuk meningkatkan penentu sosial kesihatan untuk rakyat Malaysia,” katanya.