Kurang 100 hari nak mengundi lagi

Undi rakyat amat bermakna untuk menentukan parti manakah yang akan mengurus negeri. - Foto Bernama
Undi rakyat amat bermakna untuk menentukan parti manakah yang akan mengurus negeri. - Foto Bernama
A
A
A

WALAUPUN Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) sudah berlalu enam bulan lalu, namun tugas memilih wakil rakyat masih belum selesai di enam negeri.

Pilihan Raya Negeri (PRN) yang dijangka berlangsung Julai ini pasti menjadi tumpuan untuk melihat sejauh mana penerimaan rakyat terhadap gabungan Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN).

Juga yang menjadi perhatian ramai ialah sejauh mana Pas boleh mengekalkan tiga negeri mereka iaitu Kedah, Kelantan dan Terengganu. Begitu juga sejauh mana PH dapat mengekalkan Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan.

Menyentuh mengenai PRN yang akan berlangsung kurang 100 hari lagi, Pas dijangka tidak menghadapi masalah untuk terus mengulangi kejayaan berkuasa di Kelantan dan Terengganu, namun tidak di Kedah. Negeri Jelapang Padi tersebut kini menjadi sasaran dan rebutan antara PH dan PN.

Berdasarkan rekod, walaupun PN menyapu bersih 14 kerusi Parlimen di Kedah pada PRU15 lalu, dan hanya tewas satu-satunya kerusi tunggal yang menjadi milik PH di Sungai Petani, ia tidak boleh dianggap kerja mudah pada PRN kali ini.

Adakah gelombang biru PN akan kekal di Kedah dan sukar dibolosi musuh politiknya yang dilihat saban hari menyerang kepimpinan negeri dengan pelbagai isu dibangkitkan?

Sehinggakan jeneral perang PN, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor menjadi popular setiap kali tampil menjawab setiap isu yang cuba merobek negeri berkenaan.

Sekiranya gelombang PN tidak terusik dan kekal kukuh seperti PRU15 sehingga menyebabkan otai-otai politik pun tersungkur, tidak mustahil Kedah mempertahankan kedudukan politiknya.

Bagaimanapun, setiap parti harus mengambil sikap untuk berdepan sebarang kemungkinan dan jangan ambil mudah kerana dalam politik apa sahaja boleh berlaku, musuh juga boleh menjadi kawan atau sebaliknya.

Gelombang perpaduan

Gelombang perpaduan pula melibatkan gabungan BN dan PH dilihat mula mencengkam biarpun pada awalnya diperlekeh banyak pihak gara-gara kononnya ‘berkawan dengan musuh’.

Namun, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim semakin yakin dengan kesepakatan 19 parti politik yang disifatkan stabil selepas penganjuran Konvensyen Nasional Kerajaan Perpaduan membuktikan ‘tiada lagi elemen tikam belakang’.

Di peringkat awal, sindir menyindir atau perbezaan pandangan sesama parti gabungan dilenyapkan dengan tindakan segera permohonan maaf oleh kepimpinan parti terlibat menyebabkan gelora ombak politik dapat diredakan secepat mungkin.

Ini antara kebijaksanaan dalam berpolitik sekiranya gabungan tersebut dianggotai pelbagai parti dan ‘agak banyak’ berbanding kerajaan sebelum ini.

Sikap toleransi dan terbuka harus dikekalkan jika berdepan dengan isu-isu dalaman memandangkan Kerajaan Perpaduan dikategorikan sebagai majmuk.

Apa pun, selera pengundi akan menentukan sama ada Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan akan kekal milik PH atau berjaya dibolosi gelombang biru PN ini.

Persoalannya, adakah bahang PRN ini akan sama seperti PRU15? Sudah bersediakah kita sebagai pengundi untuk sekali lagi turun menunaikan tanggungjawab memilih Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) pula.

Perlu diingat, PRN ini sama penting dengan PRU15. Jangan pula ada sikap ‘tak mengapa tak mengundi’ kali ini disebabkan pengundian di peringkat Persekutuan sudah selesai. Undi kita amat bermakna untuk menentukan parti manakah yang akan mengurus negeri.

Biarpun satu undi berbeza, ia menjadi penentu kepada peralihan kuasa di peringkat negeri, yang akan bertahan sehingga satu penggal, itu pun sekiranya tiada usaha menjatuhkan kerajaan menerusi pintu belakang.

Selain itu, rakyat Malaysia pastinya berharap agar PRN berlangsung dengan harmoni dan keputusan di setiap negeri terlibat tidak dipertikaikan oleh mana-mana pihak atau menjurus kepada kemelut seperti yang berlaku selepas PRU15 menyaksikan PH dan BN bergabung membentuk Kerajaan Perpaduan.

Tidak kira walau siapa pun yang memerintah nanti, yang penting adalah wakil rakyat dipilih dan kerajaan negeri yang ditubuhkan serius berkhidmat untuk rakyat sepenuhnya.

Bukan apa, rakyat sebenarnya sudah penat melihat situasi politik yang tidak berkesudahan di negara ini. Keputusan PRN akan datang diharapkan dapat menyejukkan kembali suhu politik negara.

* Roslinda Hashim ialah Ketua Wartawan Sinar Harian Utara