Pindaan Akta Suhakam dibawa ke kabinet

Azalina (dua dari kiri) selepas merasmikan Majlis Penutup Forum Hari Hak Asasi Manusia 2022 di Kuala Lumpur pada Isnin.
Azalina (dua dari kiri) selepas merasmikan Majlis Penutup Forum Hari Hak Asasi Manusia 2022 di Kuala Lumpur pada Isnin.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Cadangan pindaan Akta Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) 1999 akan dibentangkan ke kabinet supaya lebih relevan dan seiring perubahan masa.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, pindaan itu akan membenarkan Suhakam mempunyai beberapa kebolehan dan kebebasan dalam melaksanakan tugas sebagai badan yang bertanggungjawab dalam hal ehwal hak asasi dalam negara.

"Kita akan buat kertas kerja cadangan itu untuk perbincangan dan rujukan sebelum dibawa ke Mesyuarat Jemaah Menteri.

Suhakam memerlukan naik taraf daripada sudut undang-undang. Dari tahun 1999 sehingga sekarang, banyak perubahan yang berlaku. Sudah banyak kali mereka bercakap dan menunggu kerajaan untuk mengkaji.

"Sudah tentu saya perlu mendapat sokongan daripada Jemaah Menteri secara dasarnya. Tetapi, saya nak tekankan adalah kita perlu membuat pindaan sebab akta itu sudah lama, iaitu wujud pada tahun 1999. Isunya kita nak ia dimatangkan, seiring perubahan zaman," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas merasmikan Majlis Penutup Forum Hari Hak Asasi Manusia 2022 bertemakan 'Strengthening and Enhancing Human Rights Towards Leaving No One Behind' di sini, pada Isnin.

Azalina menambah, semua pihak perlu menerima hakikat bahawa walaupun laporan Suhakam diletakkan di atas meja Parlimen, tetapi perbahasan atas laporan tersebut tidak berlaku.

"Jadi, saya memohon supaya Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim agar laporan Suhakam diberi peluang untuk dibahaskan.

Artikel Berkaitan:

"Tak kisah separuh hari ke, suku hari ke supaya ahli Parlimen diberikan maklumat sepenuhnya kepada kerja-kerja yang dilakukan Suhakam dan cabaran yang dihadapi.

"Sesi Parlimen kali ini agak pendek (19 dan 20 Disember), mungkin tahun depan boleh diberikan satu pertemuan khas antara pesuruhjaya-pesuruhjaya Suhakam dengan ahli Parlimen serta ahli Dewan Negara, supaya mereka boleh bertanya soalan dan memahami peranan yang dimainkan Suhakam," jelasnya.