Pindaan akta beri perlindungan tambahan kepada pemberi maklumat

Cynthia pada sidang media Kumpulan Rentas Parti Parlimen Malaysia (KRPPM) - Integriti, Governans dan Anti Rasuah (IGAR) bertempat di Kumpulan Karangkraf, di sini pada Selasa. - Foto Sinar Harian/Asril Aswandi Shukor
Cynthia pada sidang media Kumpulan Rentas Parti Parlimen Malaysia (KRPPM) - Integriti, Governans dan Anti Rasuah (IGAR) bertempat di Kumpulan Karangkraf, di sini pada Selasa. - Foto Sinar Harian/Asril Aswandi Shukor
A
A
A

SHAH ALAM - Pindaan Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010 penting dalam memastikan pemberi maklumat diberi perlindungan di semua peringkat.

Pengasas Pusat Memerangi Rasuah dan Kronisme (C4), Cynthia Gabriel berkata, ia juga bagi menjamin keselamatan dan imuniti pemberi maklumat yang mendedahkan maklumat dengan bertanggungjawab demi mengawal selia risiko ketirisan.

“Apa yang cuba kita lakukan dalam pindaan ini adalah menukar secara komprehensif budaya anti rasuah supaya kita boleh memperkasakan suara rakyat dan landskap, di mana tiada lagi isu kita terpaksa memberi maklumat hanya kepada pihak berkuasa.

“Pindaan ini sangat penting dalam mewujudkan ruang yang lebih besar untuk mekanisme aduan dalaman. Ini bermakna, mungkin jika ada ruang di tempat kerja, mereka boleh memberi maklumat kepada satu badan atau satu mekanisme yang wujud di tempat tersebut,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media Kumpulan Rentas Parti Parlimen Malaysia (KRPPM) - Integriti, Governans dan Anti Rasuah (IGAR) bertempat di Kumpulan Karangkraf, di sini pada Selasa.

Jelasnya, pindaan terhadap akta itu juga adalah bagi meluaskan agensi-agensi kerajaan termasuk Jabatan Imigresen Malaysia, Jabatan Kastam Diraja Malaysia dan lain-lain badan berkuasa untuk memberi ruang kepada pemberi maklumat memaklumkan kepada pihak bertanggungjawab.

“Maknanya, kalau ada elemen rasuah, SPRM (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia) yang akan beri perhatian kepada aduan tersebut. Kalau ada aspek kriminal, polis akan masuk.

“Tapi, pemberi maklumat ini perlu diberi perlindungan dalam semua peringkat. Perkara yang paling penting adalah untuk menghapuskan ‘fear faktor’ (ketakutan) dalam melaksanakan reformasi secara menyeluruh.

“Akta ini telah lama, kita cuba ‘highlight’ kepada Parlimen supaya ia diberikan keutamaan. Dalam semua reformasi, kita kena ingat yang paling penting, kita kena pulangkan kepada rakyat dan lindungi pemberi maklumat,” jelasnya.