Kedah kekalkan larangan konsert terbuka

Najmi
Najmi
A
A
A

JITRA - Kerajaan Kedah masih kekal dengan keputusan untuk tidak membenarkan sebarang konsert terbuka yang mengalakkan tingkah laku tidak beretika diadakan di negeri ini.

Exco Agama, Pendidikan dan Sumber Manusia Negeri Kedah, Datuk Najmi Ahmad berkata, kerajaan negeri akan memantau sebarang perayaan atau aktiviti yang akan diadakan menjelang sambutan tahun baharu.

Menurutnya, semua pihak termasuk penganjur konsert perlu bertanggungjawab mendidik masyarakat dan berharap mereka akur dengan keputusan yang telah diputuskan oleh kerajaan negeri.

"Konsert sebegini boleh menjejaskan imej kerajaan negeri dan awam untuk negeri ini. Ia juga boleh menyumbang kepada keruntuhan akhlak golongan belia.

“Saya harap semua orang dapat menerima perkara ini dan turut bertanggungjawab mendidik masyarakat kita," katanya pada sidang akhbar pada Isnin.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas sama ada Kerajaan Kedah sudah pun melonggarkan keputusan itu atau masih kekal dengan keputusan sama.

Najmi (kanan) menyampaikan sijil kepada ahli Perhebat pada Program Reskilling Upskilling Veteran ATM di Institut Latihan Perindustrian Jitra pada Isnin.
Najmi (kanan) menyampaikan sijil kepada ahli Perhebat pada Program Reskilling Upskilling Veteran ATM di Institut Latihan Perindustrian Jitra pada Isnin.

Terdahulu, beliau merasmikan dan menyampaikan Sijil Perhebat dan Program Reskilling Upskilling Veteran ATM di Institut Latihan Perindustrian Jitra.

Artikel Berkaitan:

Hadir sama Pengarah Perbadanan Hal Ehwal Bekas Tentera (Perhebat), Zakaria Md Sam.

Pada Oktober lalu media melaporkan, Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, sebarang konsert yang menggalakkan tingkah laku tidak beretika tidak akan dibenarkan di Kedah.

Larangan itu diputuskan susulan tular video persembahan kumpulan muzik sekumpulan anak muda berhampiran Balai Seni Lukis Negeri Kedah yang menimbulkan rasa kurang senang dalam kalangan masyarakat kerana diadakan tidak jauh dari Masjid Zahir.

Dalam perkembangan sama, Najmi juga berkata, kerajaan negeri masih belum membincangkan rayuan Persatuan Hotel Malaysia (MAH) untuk melonggarkan had operasi hiburan di Langkawi.

Beliau berkata demikian mengulas rayuan MAH memohon agar dilanjutkan waktu operasi kedai hiburan memandangkan sektor pelancongan di Langkawi masih menghadapi pemulihan yang lembap walaupun sempadan antarabangsa sudahpun dibuka.