Rumah Terbuka Pas Pusat: Kedah sekali lagi jadi tumpuan

Rumah Terbuka Aidilfitri Pas Pusat akan diadakan di Kedah pada Sabtu. Muhammad Sanusi (kanan).
Rumah Terbuka Aidilfitri Pas Pusat akan diadakan di Kedah pada Sabtu. Muhammad Sanusi (kanan).
A
A
A

ALOR SETAR - Selepas Rumah Terbuka Aidilfitri Malaysia Madani berakhir dengan jayanya pada Sabtu, Kedah sekali lagi akan menjadi tumpuan apabila dipilih sebagai tuan rumah bagi penganjuran Rumah Terbuka Pas Pusat.

Rumah Terbuka itu bakal diadakan pada Sabtu di Kompleks Pas Kedah, Kota Sarang Semut yang akan dihadiri Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang, kepimpinan tertinggi parti dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Pengarah Pilihan Raya Pas Pusat, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, pemilihan Kedah sebagai hos program berkenaan tiada kaitan dengan dakwaan untuk menyaingi sambutan Rumah Terbuka Malaysia Madani atau bermotifkan politik.

“Keputusan untuk mengadakan Rumah Terbuka Pas Pusat di Kedah sudah lama diputuskan dalam mesyuarat jawatankuasa pusat pada Mac.

“Disebabkan Muktamar Pas Tahunan pada tahun ini diadakan di Kelantan, jadi Kedah tawarkan diri untuk jadi penganjur rumah terbuka dan kita pilih diadakan di Kompleks Pas Kedah untuk keselesaan pengunjung,” katanya ketika dihubungi di sini pada Selasa.

Muhammad Sanusi yang juga Menteri Besar Kedah berkata, matlamat penganjuran Rumah Terbuka Aidilfitri Pas berbeza dengan Rumah Terbuka Malaysia Madani yang diadakan di enam negeri.

“Kita tak mahu membazir, Pas Kedah adakan rumah terbuka setiap tahun, jadi kita naik taraf sahaja rumah terbuka Pas negeri kepada Pas Pusat, hanya diadakan di Kedah.

“Mereka (Kerajaan Perpaduan) tu baru saja buat keputusan adakan rumah terbuka di Kedah dan lima negeri lain yang akan berlangsung Pilihan Raya Negeri (PRN),” jelasnya lagi.

Pada Sabtu, Muhammad Sanusi turut hadir pada majlis Rumah Terbuka Malaysia Madani mengiringi Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah.

Muhammad Sanusi sebelum ini menyifatkan penganjuran Rumah Terbuka Aidilfitri Malaysia Madani di enam negeri sebagai program kempen PRN dan tidak wajar diadakan kerana melibatkan kos tinggi sedangkan kerajaan Persekutuan sebelum ini menguar-uarkan langkah penjimatan.

Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri bersama Perdana Menteri dan Jemaah Menteri diadakan bermula di Kedah, Kelantan dan Terengganu, selain Selangor, Negeri Sembilan dan Pulau Pinang.

ARTIKEL BERKAITAN: Orang ramai serbu Rumah Terbuka Malaysia Madani di Kedah

ARTIKEL BERKAITAN: Sultan Kedah berangkat ke Rumah Terbuka Malaysia Madani

ARTIKEL BERKAITAN: Rumah Terbuka Malaysia Madani wajar diperluas ke setiap negeri

ARTIKEL BERKAITAN: Rumah terbuka enam negeri keterlaluan - PN

ARTIKEL BERKAITAN: Rumah Terbuka Malaysia Madani bukan pembaziran - PM