JPJ kutip RM233 juta melalui unit eKaunter

Zailani Hashim
Zailani Hashim
A
A
A

ALOR SETAR - Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) berjaya mengutip hasil berjumlah lebih RM233 juta menerusi 201 unit eKaunter (kios) JPJ di seluruh negara bagi tempoh 1 Jan hingga 4 Disember lepas.

Ketua Pengarah JPJ, Datuk Zailani Hashim berkata, kutipan hasil itu melibatkan jumlah transaksi kios keseluruhannya sebanyak lebih 1.6 juta transaksi.

"Sehingga kini, sebanyak 201 unit kios telah diwujudkan membabitkan 51 unit bagi fasa pertama, 50 unit untuk fasa kedua dan 100 unit dalam fasa ketiga di seluruh negara seperti yang telah diluluskan dalam Bajet 2022.

"Perkhidmatan kios ini dapat memudahkan pelanggan untuk membuat pelbagai transaksi yang ditawarkan dengan mudah, cepat dan selamat tanpa perlu ke pejabat JPJ dan itu telah membantu meningkatkan kutipan hasil,” katanya selepas merasmikan Kios JPJ Fasa 3 di Pejabat JPJ Kedah di sini pada Sabtu.

Beliau berkata, di Kedah sebanyak lima unit kios beroperasi pada fasa pertama manakala empat unit bagi fasa kedua dan enam lagi unit kios untuk fasa tiga ditempatkan di negeri itu yang akan menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak 15 unit.

"Bagi fasa ketiga ini, perkhidmatan kios berkenaan telah ditambah baik dengan 13 jenis transaksi disediakan dan pendekatan yang lebih mesra kepada pengguna orang kurang upaya (OKU) juga ditawarkan.

"Antara perkhidmatan yang disediakan ialah pembaharuan Lesen Kenderaan Motor (LKM), cetakan kali pertama LKM, salinan LKM, semakan dan pembayaran saman, cetakan maklumat kenderaan, cetakan maklumat insurans dan pendaftaran ID Awam mySIKAP,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Zailani berkata, pihaknya bersedia menawarkan gantian dokumen penting seperti Lesen Memandu Malaysia (LLM) dan LKM secara percuma kepada mangsa banjir di seluruh negara.

Artikel Berkaitan:

"Sama seperti kejadian banjir di Yan dan Baling sebelum ini, JPJ membantu mangsa yang kehilangan dokumen penting seperti lesen memandu. Sekiranya maklumat mereka ada dalam pangkalan data, kita akan keluarkan semula dokumen yang diperlukan secara percuma,” katanya. - Bernama