2,466 tokan dadah, penagih diberkas

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

KUALA LUMPUR - Seramai 2,466 orang disyaki tokan dan penagih dadah ditahan atas pelbagai kesalahan dadah dalam Operasi Tapis Khas Siri 7 bermula Selasa hingga Khamis lalu di seluruh negara.

Setiausaha Polis Diraja Malaysia (PDRM), Datuk Noorsiah Mohd Saaduddin berkata, dalam operasi itu sebanyak 181.84 kilogram (kg) dan 1,003.12 liter pelbagai jenis dadah serta tiga senjata api termasuk lima butir peluru dirampas yang dianggarkan bernilai RM3.6 juta.

Menurut beliau, sepanjang operasi itu seramai 4,878 orang diperiksa, daripada jumlah tersebut seramai 4,177 orang berusia 13 hingga 71 tahun ditangkap atas pelbagai kesalahan dadah.

"Seramai 484 tokan termasuk enam lelaki warga asing dan seorang pelajar ditahan dalam operasi tersebut

"Kita turut menahan 1,982 penagih dadah termasuk lima penjawat awam dan seorang pelajar," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.

Noorsiah berkata, seramai 307 orang dikehendaki atas pelbagai kesalahan dadah turut diberkas dalam operasi itu.

"Kita juga menahan 177 warga asing dan tiga penjawat awam atas kesalahan lain berkaitan kes dadah," katanya.

Tambah beliau, operasi itu melibatkan seramai 1,864 pegawai dan anggota daripada Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik.

Artikel Berkaitan:

"Objektif operasi khas ini adalah untuk mengesan dan menangkap tokan dadah di kawasan Felda, Felcra, sarang penagih, projek perumahan rakyat dan jeti," katanya.

Menurut Noorsiah, pihaknya turut merampas sebanyak 121 botol cecair vape disyaki mengandungi dadah jenis ketamin seberat 1.3 liter dan ganja seberat 7.52 gram serta menahan dua lelaki warga tempatan bagi membantu siasatan.

"Dalam operasi berasingan, polis turut menahan 20 ahli kumpulan 'Bani Tenang' yang disyaki terlibat dalam aktiviti penagihan dan merampas 239.62 gram dadah jenis ganja," katanya.

Noorsiah berkata, pihaknya juga mengambil tindakan ke atas penagih tegar serta mengesan dan menangkap individu dikehendaki atas kesalahan dadah.

"Polis juga mengambil tindakan pencegahan ke atas pengedar dadah yang telah dikenal pasti," katanya.

Beliau berkata, selain tu, tindakan juga diambil di bawah Akta Dadah Berbahaya (Pelucuthakan Harta) 1988, di mana aset yang dianggarkan bernilai RM612,563 telah disita.

"Polis telah menyita wang tunai berjumlah RM 32,663 barang kemas (RM49,600) dan kenderaan (RM530,300)," katanya.

Noorsiah berkata, seramai 28,710 orang telah ditangkap atas pelbagai kesalahan dadah sepanjang Operasi Tapis Khas 1 hingga 7 yang dijalankan sejak Januari hingga Disember.

"Sejumlah 2,241.53 kg dan 4,966.44 liter pelbagai jenis dadah yang bernilai RM 19.8 juta telah berjaya dirampas," katanya.