2,349 individu ditahan dalam Op Dadu Khas

Anggota polis sedang memeriksa individu yang ditahan dalam Op Dadu Khas.
Anggota polis sedang memeriksa individu yang ditahan dalam Op Dadu Khas.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Seramai 2,349 individu disyaki terlibat dengan aktiviti perjudian dalam talian ditahan menerusi Op Dadu Khas di seluruh negara sejak 1 April lalu hingga Sabtu.

Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman dalam kenyataan menerusi Facebook pada Ahad memaklumkan Bahagian Siasatan Jenayah Maksiat, Judi dan Kongsi Gelap (D7), JSJ Bukit Aman menyerbu 1,968 premis.

"Operasi ini menyasarkan aktiviti-aktiviti judi dalam talian, seramai 1,941 lelaki dan 408 wanita yang ditahan itu dipercayai berperanan sebagai penjaga premis, pekerja dan juga pelanggan," katanya.

Menurut kenyataan itu, turut dirampas wang tunai berjumlah RM250,444 dan 5,487 unit pelbagai jenis alat elektronik yang digunakan bagi menjalankan aktiviti perjudian antaranya seperti modem, router, komputer, tablet dan telefon bimbit.

"Sepanjang tempoh operasi ini dijalankan, sebanyak 2,115 kertas siasatan telah dibuka melibatkan pelbagai kesalahan dan sehingga kini 635 telah berjaya dituduh melibatkan 30.2 peratus jumlah kertas siasatan," katanya.