Kembalikan keyakinan terhadap sistem perundangan

Gambar hiasan (Gambar dalam :Azalina dan Wan Junaidi)
Gambar hiasan (Gambar dalam :Azalina dan Wan Junaidi)
A
A
A

MENTERI Undang-Undang dan Reformasi Institusi, Datuk Seri Azalina Othman Said memaklumkan perkembangan positif berhubung usaha pengasingan kuasa antara Peguam Negara dan Pendakwa Raya.

Menerusi pertemuan dengan Jabatan Peguam Negara yang diketuai oleh Peguam Cara Negara, Datuk Ahmad Terrirudin Mohd Salleh pada Selasa, satu kertas pelan pengubahsuaian pengasingan kuasa bagi dua jawatan berkenaan akan disediakan.

Walaupun ia dilihat masih di peringkat awal tetapi iltizam politik perlu konsisten bagi mengubah kebiasaan lama untuk mengembalikan keyakinan terhadap sistem perundangan negara.

Sebelum ini, bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, pengasingan kuasa Peguam Negara dan Pendakwa Raya adalah antara hasil kajian daripada laporan cadangan pengasingan kuasa dilakukan kerajaan sebelum ini.

Wan Junaidi turut memberikan sokongan terhadap usaha tersebut dan menjelaskan ia perlu dilaksanakan seiring konteks politik hari ini, selain membuang persepsi wujudnya campur tangan politik.

Jelasnya lagi, soal pengaruh politik dalam kuasa Peguam Negara atau Pendakwa Raya bergantung kepada Perdana Menteri. Jika pemimpin nombor satu itu bukan individu yang suka campur tangan dalam hal perundangan dan kehakiman, ia tidak menjadi masalah kerana tidak ada pihak lain mampu mempengaruhi mereka.

Namun, disebabkan tidak mahu wujud sebarang sangkaan atau pengaruh individu dalam Jabatan Peguam Negara, maka pengasingan kuasa bagi dua jawatan tersebut perlu dilaksanakan mengikut cadangan banyak pihak.

Ketika ini terdapat banyak kes pendakwaan berprofil tinggi melibatkan anggota pentadbiran kerajaan yang dituduh di mahkamah.

Artikel Berkaitan:

Rasional kepada pengasingan kuasa Peguam Negara dan Pendakwa Raya bertujuan mengelak konflik kepentingan apabila memberikan nasihat perundangan kepada anggota kabinet yang dituduh di mahkamah, pada masa sama mereka ini juga melaksanakan pertuduhan.

Situasi tersebut memberikan persepsi negatif kepada pelabur asing yang melihat Peguam Negara tidak bebas membuat keputusan. Secara tidak langsung, ia melemahkan keyakinan untuk melabur di negara ini.