Dua pusat dialisis untuk B40

Mohd Nazaruddin (duduk hadapan tiga dari kanan) bersama peserta yang hadir program Kempen Kesedaran Kesihatan Buah Pinggang di Anjung Singgah di sini pada Rabu.
Mohd Nazaruddin (duduk hadapan tiga dari kanan) bersama peserta yang hadir program Kempen Kesedaran Kesihatan Buah Pinggang di Anjung Singgah di sini pada Rabu.
A
A
A

IPOH - Yayasan Pemaju Lestari akan menyediakan dua pusat dialisis khusus untuk golongan B40 masing-masing di Ipoh dan Pulau Pinang menjelang Mac tahun hadapan.

Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Pemaju Lestari, Mohd Nazaruddin Jamaluddin berkata, pembinaan dua pusat dialisis tersebut menelan belanja RM20 juta secara keseluruhan termasuk kos operasi.

Menurutnya, kewujudan pusat dialisis berkenaan sebagai usaha membantu golongan berpendapatan rendah untuk mendapatkan rawatan buah pinggang yang sangat tinggi.

"Yayasan akan membantu golongan B40 dari segi kos rawatan, kos pengangkutan malahan tempat segala-galanya akan diberikan percuma.

"Perancangan kami di Ipoh melibatkan 20 hingga 25 mesin dialisis manakala untuk di Pulau Pinang antara 30 hingga 40 buah mesin dialisis," katanya kepada pemberita selepas program Kempen Kesedaran Kesihatan Buah Pinggang di Anjung Singgah di sini pada Rabu.

Hadir sama pada majlis itu, Pengarah Zon Utara 1 Yayasan Kebajikan Negara, A Abdul Samat Abdul Hamid.

Dalam perkembangan lain, Mohd Nazaruddin berkata, pihaknya turut memberi peluang latihan kepada anak-anak B40 untuk mengendalikan rawatan dialisis.

Katanya, pihak yayasan akan bekerjasama dengan kolej kejururawatan swasta untuk menyediakan latihan secara profesional.

Artikel Berkaitan:

"Kami mahu membantu anak-anak B40 ini supaya terlibat langsung dengan yayasan untuk menjaga pesakit buah pinggang.

"Setakat ini kemungkinan besar perancangan kami 5 hingga 10 orang untuk pusat dialisis di Ipoh dan Pulau Pinang. Itu perancangan awal kami," katanya.

Jelasnya, Yayasan Pemaju Lestari juga turut merancang untuk mewujudkan pusat-pusat dialisis di daerah-daerah seluruh negara jika berkemampuan.

Menurutnya, tumpuan selepas ini tidak hanya di kawasan bandar tetapi kawasan luar bandar yang mempunyai kepadatan penduduk tinggi.