Pusat sedia bekerjasama luaskan sektor semikonduktor di Pulau Pinang

Ahmad Zahid (tengah) merasmikan Persidangan Semicon Asia Tenggara 2023 di Pusat Konvensyen Spice Arena pada Selasa.
Ahmad Zahid (tengah) merasmikan Persidangan Semicon Asia Tenggara 2023 di Pusat Konvensyen Spice Arena pada Selasa.
A
A
A

BAYAN LEPAS - Sektor semikonduktor di Pulau Pinang boleh dipertingkatkan dengan memperluaskan fasilitinya ke kawasan tanah besar (seberang).

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, kerajaan Persekutuan akan bekerjasama dengan kerajaan Pulau Pinang untuk memperluaskan wilayah Lembah Silikon di negeri ini.

Menurutnya, setakat ini, perbincamgan secara tidak rasmi antara Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri berhubung perkara itu telah diadakan.

"Perbincangan secara tidak rasmi dengan Ketua Menteri telah diadakan agar Lembah Silikon di Pulau Pinang ini bukan sahaja di tambah luaskan ke kawasan seberang tetapi mungkin kita boleh bekerjasama di bawah Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) dan agensi di bawah Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI).

"Ia bagi memperluaskan fasiliti semikonduktor ini ke peringkat seterusnya," katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan Persidangan Semicon Asia Tenggara 2023 di Pusat Konvensyen Spice Arena di sini pada Selasa.

Turut hadir, Ketua Menteri, Chow Kon Yeow.

Beliau menambah, negara mensasarkan nilai pasaran sebanyak USD1 trilion dalam bahan-bahan semikonduktor pada 2030 yang mana ketika ini, Malaysia berada di kedudukan ketujuh dunia.

"Kita sekarang berada di kedudukan ketujuh dunia dalam sektor pengeluaran bahan semikonduktor dan menyumbang kira-kira 13 peratus nilai pasaran.

"Jika kita dapat meningkatkan pada kadar 15 peratus nilai pasaran pada 2030, ini bermakna sumbangan kita sangat besar dalam pasaran di peringkat dunia," katanya.

Sehubungan itu, Ahmad Zahid berkata, Kerajaan Persekutuan akan memberi penekanan kepada pendidikan Sains, Matematik, Kejuruteraan dan Teknologi (STEM) kerana terdapat penurunan bilangaj pelajar yang ketara di dalam bidang berkenaan.

"Terdapat 1,291 institut Pendidikan serta Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) di negara dan 250 di bawah Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW).

"Apa yang kita lakukan adalah menandatangani memorandum perjanjian (MoA) dengan pemain industri supaya kursus-kursus diwujudkan menepati kehendak pasaran dan guna tenaga yang diperlukan. Selain itu, TVET juga bekerjasama dengan beberapa institusi pendidikan untuk merealisasikan perkara ini.

"Ini kerana, untuk mencapai 15 peratus pada 2030, kita tidak boleh bergantung kepada pekerja asing untuk memperkukuhkan penglibatan syarikat-syarikat semikonduktor sama ada ia syarikat Malaysia sendiri atau 'multinational coorperation'," katanya.

Dalam pada itu, ditanya sama ada kawasan di selatan Kedah boleh dibangunkan untuk menyokong fasiliti sektor semikonduktor yang terdapat di Pulau Pinang ketika ini, Ahmad Zahid berkata, usaha tersebut akan lebih cepat dilaksanakan sekiranya kerajaan negeri sealiran dengan Kerajaan Persekutuan.

Sementara itu, Ahmad Zahid berkata, Malaysia tidak perlu bersaing dengan negara-negara lain sebaliknya meningkatkan sumber yang dimiliki.

"Menjawab kepada soalan berhubung trend syarikat antarabangsa lebih memilih melabur di negara lain seperti Singapura, China dan Vietnam berbanding Malaysia, kita tidak perlu bersaing. Ini kerana, kita tidak hanya menyediakan infrastruktur malah termasuk latihan untuk tenaga kerja.

"Di bawah pentadbiran Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim juga, banyak insentif dan rebat cukai diberikan kepada syarikat-syarikat antarabangsa.

"Kementerian-kementerian berkaitan juga bekerjasama erat dengan MIDA dalam mencapai agenda negara untuk menarik lebih banyak pelaburan asing (FDI) terutama daripada syarikat multinasional untuk melabur dalam sektor semikonduktor negara," katanya.