LRT Pulau Pinang: Rakyat setuju pengumuman PM

Laporan Sinar Harian pada Sabtu.
Laporan Sinar Harian pada Sabtu.
A
A
A

GEORGETOWN - Rata-rata penduduk di Pulau Pinang menyambut baik pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung pelaksanaan Perkhidmatan Transit Aliran Ringan (LRT) di negeri ini.

Tinjauan Sinar Harian mendapati, kebanyakan mereka yang ditemui amat gembira dan tidak sabar untuk menikmati perkhidmatan awam itu dilaksanakan di negeri ini sekali gus dapat mengurangkan masalah lalu lintas yang membelenggu rakyat Pulau Pinang sejak puluhan tahun lalu.

Pemilik Kafe Bricklin Cafe & Bar, Syaffiq Idham Zulkifli, 30-an berkata, sebagai rakyat, beliau sangat setuju dengan pembinaan LRT di Pulau Pinang kerana dapat membantu aliran trafik yang semakin hari semakin sesak.

"Malah ia juga selari dengan arus kemajuan negeri selain untuk kemudahan serta keselesaan rakyat.

"Sudah semestinya dengan adanya LRT di sini nanti, ia dapat membantu aliran trafik yang semakin hari semakin sesak dengan kenderaan bermotor di jalan raya," katanya.

Penolong Pengurus, Nor Izzawani Mahmud, 41, pula berkata, dengan adanya perkhidmatan LRT di Pulau Pinang, ia akan menjimatkan masa selain tidak perlu membuang masa mencari tempat parkir kenderaan.

"Apabila dah ada perkhidmatan awam yang lebih efisen, orang ramai tidak perlu lagi membawa kenderaan masing-masing. Ia akan mengurangkan pencemaran udara dan tidak perlu buang masa tunggu bas, sebab kadang-kadang bas tak tepati masa.

"Selain itu, LRT ini satu perkhidmatan awam yang lebih selesa untuk pengguna berbanding bas selain ia memudahkan pergerakan pengguna. Dan semestinya, ia akan dapat mengurangkan kesesakan lalu lintas yang teruk di Pulau Pinang," katanya.

Perkara yang sama turut diakui Suraya Hani Abdul Halim, 41, yang berpendapat selain dapat mengurangkan kesesakan lalu lintas, ia juga memudahkan pergerakan pelancong luar yang t datang ke negeri ini.

"Sangat setuju sebab utama, mesti lah boleh kurangkan kesesakan lalu lintas. Selain itu, ia dapat memudahkan pergerakan pelancong dan juga mereka yang tinggal luar dari Pulau Pinang.

"Seperti saya, apabila projek LRT siap nanti, saya tak perlu memandu dari Kuala Lumpur ke sana lagi untuk pulang ke kampung. Hanya naik kapal terbang, selepas itu di Pulau Pinang boleh guna LRT saja untuk ke sana sini. Saya tak perlu hadap kesesakan lalu lintas di lebuh raya dan sekitar Pulau Pinang," ujarnya.

Dalam pada itu, peguam, Aznil Majid, 31 berkata, sebagai anak Pulau Pinang, dia berasa bangga dan tidak sabar untuk menikmati perkhidmatan LRT di negeri ini.

"Saya tak sabar kerana saya lihat LRT ini akan mengurangkan kesesakan lalu lintas di Pulau Pinang kerana masalah ini semakin hari semakin membimbangkan. Saya pasti, bukan saya saja yang menunggu LRT ini, malah ramai lagi.

"Sebagai penduduk dan pengguna, saya menyahut baik inisiatif ini dan mengharapkan yang terbaik untuk Pulau Pinang pada masa akan datang. Cuma saya berharap agar kawasan LRT ini diperluaskan sehingga ke seberang bagi menghubungkan kawasan pulau dengan seberang," katanya.

Pekerja swasta, Razman Mohd Ali, 33 berkata, pelaksanaan LRT di Pulau Pinang dapat mengurangkan pemanasan global dan pencemaran alam sekitar.

"Idea untuk melaksanakan LRT di sini amat-amat dialukan. Tambahan pula, Pulau Pinang kini antara bandaraya paling sibuk selain mempunyai jumlah kenderaan yang amat tinggi.

"Rakyat Pulau Pinang telah sekian lama berdepan masalah kesesakan lalu lintas yang teruk terutamanya di kawasan perindustrian dan bandar. Dengan adanya perkhidmatan ini, saya yakin, masalah ini dapat dikurangkan," katanya.

Kakitangan kerajaan, Watawa Nataf Zulkifli, 30 an berkata, pengumuman yang dibuat Anwar itu dilihat satu hadiah paling istimewa buat rakyat Pulau Pinang.

"Sebagai salah seorang yang berulang alik dari daerah Barat Daya ke Timur Laut, saya menyambut baik cadangan ini yang mana, tujuan asalnya adalah untuk mengurangkan kesesakan lalu lintas

"Cuma, bagi saya, kerajaan kena perhalusi lebih banyak pelan contohnya di dalam kawasan Bayan Baru, Bayan Lepas dan Sungai Ara yang mana kesesakan kawasan tersebut sangat kritikal pada waktu puncak.

"Ini kerana, laluan itu melibatkan 'inter cross' untuk ke kawasan perindustrian," katanya.

Sabtu lalu, Anwar mengumumkan bahawa Kerajaan Pusat akan menambah dana dalam satu skim yang besar untuk melaksanakan perkhidmatan LRT di Pulau Pinang.

Anwar berkata, beliau akan mengadakan satu mesyuarat bersama kerajaan negeri untuk membincangkan perkara tersebut dalam tempoh satu hingga dua minggu lagi.

Tambah Anwar, beliau juga mengarahkan supaya Projek PSI dikaji semula dan mengecilkan skopnya.