Zahid luah rasa ganjil pertama kali sepentas dengan PH

Ahmad Zahid (empat dari kanan) bersama pemimpin PH dalam kempen Ceramah Mega Ayuh Malaysia di Padang Serai pada Isnin.
Ahmad Zahid (empat dari kanan) bersama pemimpin PH dalam kempen Ceramah Mega Ayuh Malaysia di Padang Serai pada Isnin.
A
A
A

PADANG SERAI - Pengerusi Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi melahirkan rasa ganjil pertama kali berkongsi pentas bersama pimpinan Pakatan Harapan (PH) dalam kempen Ceramah Mega Ayuh Malaysia di sini pada Isnin.

Timbalan Perdana Menteri itu menjelaskan, biarpun perasaan pelik itu turut dirasai ahli dan pimpinan BN, namun beliau mengharapkan agar gabungan PH dan BN dalam pembentukan Kerajaan Perpaduan itu dapat diterima dengan baik oleh kedua-dua parti.

"Saya rasa agak pelik kerana pentas kita lori (trak), pentas kempen BN disediakan baik tetapi kalah, lebih baik berkempen atas lori tapi kita menang daripada berkempen di tempat-tempat yang lebih baik.

"Mereka yang pakai baju biru muda, dulu kami alergi, namun jangan bimbang, ada ubatnya..iaitu keikhlasan untuk bekerja sama-sama jadi satu pasukan kuat, maka kita harus lupakan perbezaan," katanya.

Beliau berkata, atas dasar keikhlasan dan perpaduan negara, beliau sendiri turun padang merayu undi bagi memenangkan calon PH, Dr Mohamad Sofee Razak dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) Parlimen Padang Serai Rabu ini.

Turut hadir di pentas trak Ceramah Mega Ayuh Malaysia Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli dan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.

Menurut Ahmad Zahid, dua minggu lalu, kedua-dua parti itu tidak sehaluan, namun pembentukan kerajaan membolehkan gabungan itu kini menjadi satu pasukan.

"Baru dua minggu lalu saya kutuk mereka, mereka kutuk saya.

Artikel Berkaitan:

"Tidak ada kawan yang kekal, tidak ada musuh yang kekal. Itu pepatah tetapi rupa-rupanya di Malaysia pepatah itu adalah tepat yang mana diterjemahkan atas sifat keikhlasan sesama kita sebagai rakyat Malaysia walaupun berbeda parti sebelum itu," katanya.

Jelas beliau, jika trend perpaduan dan penyatuan itu dapat kekal, diyakini Malaysia akan lebih berdaya saing dari segi ekonomi, pelaburan dalam dan luar negara serta membuka lebih banyak peluang pekerjaan.

"Kerjasama ini bukan lima tahun, bukan 10 tahun, bukan 15 tahun kerana ia atas keikhlasan satu pasukan sebagai grand coalition antara parti-parti.

"Saya yakin jika trend ini dapat kita pertahankan, jika penyatuan dan perpaduan ini dapat kita teruskan, Insya-ALLAH Malaysia akan gemilang, ekonomi kita akan lebih baik serta kos sara hidup akan dapat diatasi," katanya.