NGO gesa SPRM siasat Ahmad Zahid

Wan Faizul (tengah) bersama gabungan NGO lain mengemukakan laporan terhadap Ahmad Zahid di pejabat SPRM Terengganu pada Khamis.
Wan Faizul (tengah) bersama gabungan NGO lain mengemukakan laporan terhadap Ahmad Zahid di pejabat SPRM Terengganu pada Khamis.
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Sebanyak 130 badan bukan kerajaan (NGO) di bawah Sekretariat Ummah menggesa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) melakukan siasatan terhadap Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi atas dakwaan menyuburkan amalan rasuah.

Pengerusi Gerakan Anak Terengganu Insaf (Ganti), Wan Faizul Wan Abas berkata, laporan itu dikemukakan di pejabat SPRM di sini kira-kira jam 12 tengah hari pada Khamis.

Menurutnya, tindakan perlu diambil berhubung ucapan Ahmad Zahid yang didakwa cuba menyogok belia bagi memastikan kemenangan kerajaan pada pilihan raya negeri (PRN) pada 12 Ogos.

"Kami mengemukakan laporan susulan ucapan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid yang juga Presiden UMNO ketika program Himpunan Belia Lestari Generasi Ungggul (LesGU) sempena program sentuhan Kasih di Bandar Al-Muktafi Billah Shah (AMBS) di mana beliau dengan jelas menyogok belia.

"Dalam ucapan itu beliau mengumumkan peruntukan geran tambahan sebanyak RM100,000 kepada Persatuan Belia Gabungan Kemajuan Terengganu Tengah (Ketengah), RM250,000 untuk Majlis Belia Negeri Terengganu dan RM200,000 untuk pasukan bermotosikal dan berjanji bantuan itu akan ditambah jika belia membantu parti pemerintah menang.

"Ini jelas satu bentuk sogokan yang berlaku secara terang-terangan oleh parti pemerintah. Justeru kita menggesa SPRM segera menyiasat secara telus supaya rakyat diberikan hak yang sepatutnya dalam menentukan pemerintah secara demokrasi yang adil," katanya ketika dihubungi Sinar Harian di sini pada Jumaat.