Anwar nafi arah siasat perbelanjaan RM600 bilion

Anwar pada Isnin mempengerusikan mesyuarat khas kabinet Kerajaan Perpaduan di Perdana Putra. - Foto Bernama
Anwar pada Isnin mempengerusikan mesyuarat khas kabinet Kerajaan Perpaduan di Perdana Putra. - Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - [DIKEMAS KINI] Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menafikan mengeluarkan arahan bagi menyiasat perbelanjaan RM600 bilion tanpa tender yang dibuat kerajaan terdahulu.

Tegasnya, Kementerian Kewangan akan memberi makluman mengenai pelanggaran tersebut dan ia diserahkan kepada pihak berkuasa untuk tindakan selanjutnya.

"Kita serahkan kepada pihak berkuasa untuk menyiasat dan melihat bagaimana pelanggaran, rasuah dan penyelewengan itu berlaku," katanya menerusi sidang akhbar pasca mesyuarat kabinet pertama di sini pada Isnin.

Turut hadir, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Fadillah Yusof serta Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali.

Anwar berkata, beliau juga tidak pernah mengeluarkan arahan kepada Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani untuk menyiasat pihak yang memainkan sentimen agama dan perkauman.

"Saya ingin tegaskan yang pertama ia bukan arahan Perdana Menteri atau kerajaan.

"Ini adalah ketetapan dalam Perlembagaan dan kenyataan tegas oleh Raja- Raja Melayu yang membuat kenyataan berhubung kewaspadaan terhadap sentimen perkauman dan pelampau agama," katanya.

Ujar Anwar, arahan Raja-Raja Melayu itu tidak boleh disamakan terhadap kritikan Perdana Menteri dan kerajaan dalam pengoperasian.

Artikel Berkaitan:

"Saya memberitahu kritikan terhadap kerajaan adalah dibenarkan dan diizinkan," katanya.

Ditanya mengenai keperluan Suruhanjaya Siasatan Diraja bagi menyiasat perbelanjaan RM600 bilion, Anwar berkata, ia belum dibincangkan di dalam mesyuarat kabinet.

"Saya serah kepada rakan-rakan dalam jemaah menteri untuk menilai hal yang sedemikian.

"Cuma setakat yang saya tahu dan diberi makluman oleh pegawai, terdapat perlanggaran agak serius terutama melibatkan perolehan terlalu banyak," katanya.

Beliau berkata, apabila sesuatu projek diluluskan, kos projek berkenaan telah dinaikkan terlalu tinggi.

"Dana-dana kemudiannya disalurkan kepada parti tertentu yang memperlihatkan keupayaan mereka berbelanja," katanya.

Terdahulu, bekas Perdana Menteri yang juga Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin menafikan dakwaan beliau menyeleweng dana kerajaan berjumlah RM600 bilion

"Tidak ada satu sen pun wang ini masuk ke akaun peribadi saya. Tak masuk akal wang bantuan rakyat yang dimasukkan terus ke dalam akaun mereka boleh diseleweng masuk ke akaun saya.

"Saya tidak takut untuk disiasat kerana saya tahu saya tidak seleweng duit rakyat yang diamanahkan kepada kerajaan untuk digunakan bagi tujuan membantu rakyat ketika zaman susah," katanya dalam hantaran di Facebook pada Isnin.