PM arah siasat pihak terlibat rasuah sebabkan negara rugi

Anwar melihat aksi seorang penebar roti canai ketika mengunjungi gerai-gerai makanan pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Malaysia Madani di Dataran Merdeka hari ini. - Foto Bernama
Anwar melihat aksi seorang penebar roti canai ketika mengunjungi gerai-gerai makanan pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Malaysia Madani di Dataran Merdeka hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengarahkan pihak berkuasa khususnya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk menyiasat pihak yang bertanggungjawab atas kerugian ditanggung negara akibat rasuah.

Beliau berkata, selain SPRM, agensi lain yang diarahkan termasuk Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), Bank Negara Malaysia (BNM) dan Jabatan Siasatan Jenayah Komersil, Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengambil apa saja langkah, mengikut jalur perundangan untuk bertindak.

"Kita kena suarakan (rasuah) tetapi saya tidak boleh berikan petunjuk satu persatu melainkan arahan umum kerana ada orang-orang diketahui, rasuah berbilion... Dah puluh tahun tapi selamat, tidak berani disentuh (sesiapa).

"Apa erti negara, kekuatan undang-undang kalau kita minta polis, LHDN, ambil tindakan di bawah tapi yang di atas itu terlepas dan kumpulan harta itu puluh-puluh bilion ringgit. Itu sebab maka saya bagi arahan umum dan saya harap rakyat tak kira parti, tak kira kaum bagi sokongan terhadap tindakan ini," katanya selepas menghadiri program Aidilfitri Malaysia Madani @ Dataran Merdeka di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai tindakan khusus bagi mencari pihak terlibat kes rasuah berikutan statistik dikeluarkan EMIR Research iaitu Malaysia dianggarkan berdepan dengan jumlah kerugian sebanyak RM4.5 trilion dalam tempoh 26 tahun disebabkan rasuah dan ketirisan.

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, jumlah kerugian sebenar belum dapat dipastikan oleh itu, kerajaan kekal dengan keputusan dasar untuk memerangi rasuah walaupun menerima serangan dan tentangan kelompok yang korup.

"Saya jadikan ini sebagai suatu keputusan dasar yang sangat serius walaupun mendapat serangan ataupun percubaan kelompok-kelompok, terutama yang kaya, yang kaya tak apa tapi yang korup, yang harta berbilion-bilion, di dalam dan luar negara, yang menyoroknya, itu mereka nampaknya kumpul, kekuatan untuk lawan.

"Saya sudah ambil satu keputusan dan tekad masalah Malaysia ini mesti diselamatkan daripada penyakau-penyakau ini dan ini memerlukan tekad politik yang jelas, yang tegas.

"Bukan soal kaum bukan soal penganut agama berbeda, ini soal karakter, soal akhlak, soal nilai. Walaupun dipermainkan, saya faham masalah ini dan kita mahu rakyat faham dan bersama menyerang dan menghentikan (rasuah)," katanya.

Program Aidilfitri Malaysia Madani @ Dataran Merdeka yang dianjurkan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) bersama gabungan masjid dan surau Jumaat di Wilayah-Wilayah Persekutuan serta Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) itu menghimpunkan 120 masjid dan surau terpilih bagi menyediakan gerai jamuan dalam menyantuni tetamu daripada pelbagai lapisan masyarakat.

Program itu turut dihadiri Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar, Datuk Bandar Kuala Lumpur Datuk Kamarulzaman Mat Salleh dan Pengarah JAWI Datuk Mohd Ajib Ismail. - Bernama