[VIDEO] 'Saya tak takut disiasat' - Muhyiddin

Muhyiddin
Muhyiddin
A
A
A

SHAH ALAM - Bekas Perdana Menteri yang juga Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin menafikan dakwaan beliau menyeleweng dana kerajaan berjumlah RM600 bilion.

Beliau menegaskan, tidak pasti dari mana angka tersebut dipetik namun mengagak ia merujuk kepada lapan Pakej Rangsangan Ekonomi bernilai RM530 bilion yang dilaksanakan semasa menjadi Perdana Menteri bagi membantu rakyat dan perniagaan terjejas ketika tempoh pandemik.

"Tak mungkin saya seleweng wang ini kerana ia adalah wang individu atau bank yang tidak melibatkan perbelanjaan kerajaan.

"Saya sebagai Perdana Menteri pada ketika itu tidak ada apa-apa kuasa ke atas penggunaan wang ini.

"Tidak ada satu sen pun wang ini masuk ke akaun peribadi saya. Tak masuk akal wang bantuan rakyat yang dimasukkan terus ke dalam akaun mereka boleh diseleweng masuk ke akaun saya.

"Saya tidak takut untuk disiasat kerana saya tahu saya tidak seleweng duit rakyat yang diamanahkan kepada kerajaan untuk digunakan bagi tujuan membantu rakyat ketika zaman susah," katanya dalam hantaran di Facebook pada Isnin.

Muhyiddin memberi respon susulan tindakan Ahli Parlimen Hulu Langat daripada parti Pakatan Harapan (PH) yang membuat laporan polis kononnya beliau menyeleweng dana kerajaan berjumlah RM600 bilion.

Tambahnya, jika hal itu berlaku, sudah tentu akan diketahui melalui penemuan audit yang dibuat oleh Jabatan Audit Negara (JAN) setiap tahun.

Artikel Berkaitan:

"Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) sudah tentu membentangkan laporan mengenainya di Parlimen.

"Malah Bank Negara Malaysia (BNM) tentunya telah mendapat notifikasi tentang pergerakan jumlah wang yang besar masuk ke akaun saya dan siasatan telah dimulakan sejak lebih setahun yang lalu.

"Tetapi tidak ada apa-apa pun," ujarnya.

Justeru Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu berpesan kepada ahli-ahli politik PH dan UMNO supaya janganlah asyik menuding jari kepada orang lain dengan menuduh yang bukan-bukan semata-mata untuk menutup kelemahan kerajaan yang baharu berusia beberapa hari ini.

Katanya, masih belum ada idea bernas daripada kerajaan untuk menyelesaikan permasalahan rakyat.

"Awak dah jadi kerajaan, 'act like a government'.

"Sudah-sudahlah bermain wayang politik kerana rakyat mahu lihat apa perancangan kerajaan untuk mereka," ujar beliau.