ATM rancang ganti aset usang digunakan Malbatt di Lubnan

Yazid (kiri) bercakap kepada pemberita semasa sidang media pada Majlis Pembubaran, Pemakaian Pingat Perkhidmatan Negara Bangsa-Bangsa Bersatu (PNBB) dan Malaysian Battlalion 850-9 di Padang Kawad Markas Pemerintahan Latihan dan Doktrin Tentera Darat Kem Segenting, pada Isnin. - Foto Bernama
Yazid (kiri) bercakap kepada pemberita semasa sidang media pada Majlis Pembubaran, Pemakaian Pingat Perkhidmatan Negara Bangsa-Bangsa Bersatu (PNBB) dan Malaysian Battlalion 850-9 di Padang Kawad Markas Pemerintahan Latihan dan Doktrin Tentera Darat Kem Segenting, pada Isnin. - Foto Bernama
A
A
A

PORT DICKSON - Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dalam perancangan menggantikan aset-aset digunakan dalam misi Pasukan Interim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di Lubnan (UNIFIL) yang usang dan sudah mencapai tempoh efektif secara berfasa.

Panglima Angkatan Bersama, Leftenan Jeneral Datuk Yazid Arshad berkata, penggantian aset itu, termasuk 39 unit kereta perisai Condor yang digunakan sejak 2006, sekali gus memastikan kesiapsiagaan Pasukan Pengaman Batalion Malaysia (MALBATT) di negara berkenaan berada pada tahap terbaik.

Beliau berkata, meskipun telah berusia, aset tersebut masih boleh beroperasi dengan baik berikutan penyelenggaraan yang sistematik, malah selain Lubnan ia juga digunakan di Somalia serta Bosnia Herzegovina.

Baru-baru ini, kita juga dapat beberapa aset termasuk 20 pacuan empat roda FFR (Fitted for Radio) dan 15 trak tiga tan GS Cargo selain enam trak tiga tan, dua trak satu tan dan dua ambulans serta peralatan komunikasi.

"Akan datang kita rancang membuat perolehan 20 kenderaan jenis Armor bagi menggantikan kenderaan Condor yang kita miliki sekarang, secara berfasa yang diperoleh antara 2026 hingga 2028,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Pembubaran dan Pemakaian Pingat Perkhidmatan Negara Bangsa-Bangsa Bersatu (PNBB) MALBATT 850-9, di sini pada Isnin.

Beliau berkata, ATM turut merancang perolehan 59 High Mobility Light Tactical Vehicle yang akan dilaksanakan oleh tentera darat dalam meningkatkan keupayaan operasi.

Dalam pada itu, Yazid berkata, walaupun berdepan cabaran besar seperti kawasan yang situasinya tidak menentu dan kestabilan negara yang agak rapuh, ia tidak menjejaskan kesiapsiagaan 854 anggota dan pegawai termasuk daripada Angkatan Bersenjata Diraja Brunei sejak 13 Nov tahun lepas.

Beliau berkata, sebaliknya berbekalkan prinsip berkhidmat untuk keamanan, cabaran itu menjadi pemangkin untuk mereka terus mengekalkan tempo juang yang tinggi selain mampu bekerjasama dengan pelbagai angkatan tentera negara luar dan tempatan.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya peningkatan kekuatan anggota wanita sebanyak 10 peratus untuk kontinjen kali ini, juga memberi impak positif dalam setiap pelaksanaan aktiviti Kerjasama Awam dan Tentera (CIMIC) melibatkan golongan wanita dan kanak-kanak tempatan.

"Ia juga menyokong hasrat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang menetapkan 15 peratus penglibatan wanita dalam misi PBB, jadi untuk MALBATT 850-9 kita berjaya capai 10 peratus penglibatan mereka dan akan ditambah secara berfasa hingga mencapai 15 peratus pada 2028,” katanya.

Jelasnya, secara keseluruhan, MALBATT 850-9 berjaya menguruskan 24,198 aktiviti pengoperasian melibatkan aktiviti bebas dan selaras bersama Angkatan Tentera Lubnan di kawasan berkeluasan 288 kilometer persegi, yang merupakan kawasan tanggungjawab paling besar di bawah UNIFIL.

Lebih membanggakan, beliau berkata, Komander MALBATT 850-9 Kol Megat Maz Ardi Nohuddin turut dikurniakan pingat pengiktirafan dari Itali atas sumbangan serta jasa selain menganjurkan pelbagai aktiviti termasuk Larian untuk Keamanan 2022 yang membabitkan interaksi masyarakat setempat.

Pingat Croce Commemorativa Per La Partecipazione Alle Operazioni Di Pace itu disampaikan sendiri oleh Komander Sektor Barat UNIFIL kepada Megat Maz Ardi, sekali gus menjadikan beliau komander pertama daripada MALBATT menerima pengiktirafan tersebut.

Sementara itu, Megat Maz Ardi berkata penganjuran aktiviti berkenaan telah membangkitkan keyakinan masyarakat tempatan dan anggota UNIFIL selain mengeratkan hubungan baik antara mereka. - Bernama