Sokong usaha kurangkan beras import

Gambar hiasan (Gambar kecil: NURUL HIDAYAH HAMID)
Gambar hiasan (Gambar kecil: NURUL HIDAYAH HAMID)
A
A
A

Apabila disebut Kedah Darul Aman, pasti terbayang pemandangan sawah padi menghijau yang luas dan indah, sesuai untuk melarikan diri dari kesibukan kota.

Kedah dan gelarannya, Jelapang Padi sememangnya tidak dapat dipisahkan memandangkan menjadi negeri pengeluar padi terbesar dalam Malaysia.

Bagaimanapun, negara masih bergantung kepada import beras bagi menampung keperluan rakyat yang memerlukan kira-kira 2.5 tan juta metrik setahun. Dengan pengeluaran beras negara sekitar 70 peratus sahaja, baki 30 peratus lagi bergantung kepada import beras untuk memenuhi permintaan penduduk.

Daripada jumlah itu, Kedah membekalkan sebanyak 43 peratus bekalan beras ke seluruh Malaysia melalui penanaman padi dua kali setahun.

Disebabkan itu, negeri tersebut berulang kali menyatakan hasrat untuk melaksanakan penanaman padi sebanyak lima kali dalam tempoh dua tahun sejak beberapa bulan lepas.

Menurut Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor, Kedah merancang bagi mengurangkan kebergantungan beras import.

Menurutnya, pengeluaran padi disasarkan meningkat sehingga 65 peratus apabila penanaman padi lima kali dalam tempoh dua tahun dilaksanakan.

Import beras tidak perlu diteruskan lagi sekiranya langkah itu berjaya dilaksanakan seperti mana dicadangkan Muhammad Sanusi.

Artikel Berkaitan:

Bagaimanapun, cadangan Kedah itu menerima reaksi berbeza daripada pelbagai pihak apabila ada yang bersetuju, ada yang mengkritik.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kubang Rotan, Asmirul Anuar Aris berkata, beberapa masalah berkaitan penanaman padi perlu diselesaikan terlebih dahulu sebelum cadangan itu dilaksanakan.

Menurut Asmirul, tiga empangan di Kedah tidak pernah atau mampu memberikan pengairan dan saliran kepada petani di luar musim penanaman padi.

Tambahan pula, bekalan air dari empangan berkenaan juga digunakan untuk tujuan domestik seperti bekalan air minuman dan industri di Kedah.

Walaupun timbul pertikaian beberapa pihak, Muhammad Sanusi tetap meneruskan pelaksanaan inisiatif itu yang akan dilaksanakan pada bulan ini.

Perkara tersebut dikongsikan Exco Pertanian dan Industri Makanan, Perusahaan Perladangan dan Komoditi Kedah, Datuk Azman Nasrudin pada Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah di Wisma Darul Aman, baru-baru ini.

Azman menjelaskan, kaedah penanaman padi yang dikenali sebagai penanaman padi 5:2 akan dilaksanakan di bawah seliaan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA).

Menurut beliau, penanaman akan melibatkan keluasan sebanyak 1,220.05 hektar meliputi kawasan penanaman yang pernah menggunakan kaedah sama pada tahun 2016.

Kedah mempelajari kaedah penanaman padi berkenaan daripada Vietnam selepas melihat keupayaan negara itu menanam padi tiga kali setahun. Keluasan tanaman padi Vietnam adalah 4.6 juta hektar dengan penghasilan 8.6 juta tan padi pada tahun 1961, namun hasil padi meningkat lebih empat kali ganda walaupun keluasan tanaman meningkat tidak sampai dua kali ganda dalam tempoh 46 tahun.

Cuba bayangkan, sekiranya stok beras negara berada dalam keadaan kritikal dan hanya mampu bertahan selama sebulan, dalam masa sama berlakunya kekurangan bekalan dan kenaikan harga beras di pasaran dunia.

Perkara itu belum terjadi lagi di negara ini, tapi tidak salah sekiranya bersiap sedia dengan kerajaan menambah pengeluaran tempatan.

Jadi, hasrat Kedah ini adalah satu usaha yang sangat baik dan bermanfaat bukan hanya kepada rakyat Kedah, malah seluruh negara.

Malaysia tidak perlu lagi bimbang dengan bekalan stok beras negara sekiranya langkah penanaman lima kali dua tahun dapat direalisasikan.

Namun begitu, timbul sedikit persoalan sama ada beberapa empangan di Kedah seperti Empangan Muda, Empangan Pedu dan Empangan Ahning mampu atau tidak menyalurkan air bagi merealisasikan hasrat itu.

Sehubungan itu, Kedah perlulah memberi perhatian kepada beberapa perkara terutamanya memastikan bekalan air di empangan mencukupi untuk pengairan air ke sawah padi dan keperluan domestik.

Walaupun Kedah merupakan negeri pembangkang, namun hasrat kerajaan negeri Jelapang Padi itu diharap mendapat sokongan kerajaan Persekutuan terutama Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Mohamad Sabu untuk kebaikan seluruh rakyat Malaysia.

*Nurul Hidayah Hamid ialah wartawan Sinar Harian Kedah