Lee Tuck wira Kedah di Darul Aman

Lee Tuck - Foto Kedah Darul Aman FC
Lee Tuck - Foto Kedah Darul Aman FC
A
A
A

KEDAH Darul Aman FC (KDA FC) kembali semula ke landasan kemenangan selepas menang tipis 2-1 ke atas Sabah FC dalam perlawanan Liga Super di Stadium Darul Aman, Alor Setar pada Jumaat.

Anak buah Nafuzi Zain tampil dengan misi memburu kemenangan kelapan liga selepas tewas 2-3 kepada Selangor FC pada 24 Mei lalu.

Bagaimanapun skuad Kenari terlebih dulu dikejutkan jaringan minit kelapan Gabriel Schmegel Wotter Peres hasil hantaran Baddrol Bakhtiar.

Anak buah Datuk Ong Kim Swee yang disingkirkan Kuala Lumpur City, 1-2 dalam aksi suku akhir Piala FA terus mengasak bagi melebarkan jaringan.

Namun kelebihan pasukan pelawat itu tidak kekal lama apabila Lee Tuck menyamakan kedudukan minit ke-40 selepas menterjemah hantaran Manuel Hidalgo.

Babak kedua kedua-dua pasukan menambah asakan namun deretan percubaan jentera gagal diterjemahkan dalam bentuk jaringan.

Gol dicari kedua-dua pasukan akhirnya dijelmakan Lee Tuck sekali lagi menerusi rembatan padu minit ke-72 untuk kedudukan 2-1.

Tiga mata diraih anak buah Nafuzi membolehkan skuad Kenari naik satu anak tangga - tangga keempat - dengan mengumpul 25 mata selepas mengharungi 13 perlawanan.

Sementara itu, The Rhinos pula kekal turun ke tangga kelima dengan 24 mata selepas mengharungi 13 perlawanan.