Tuntutan Sulu: Rakyat sokong usaha kerajaan pertahan kedaulatan

Usaha kerajaan mempertahankan kedaulatan negara terutamanya berhubung tuntutan terhadap Malaysia daripada lapan individu yang mendakwa sebagai waris Kesultanan Sulu, terus mendapat sokongan penuh rakyat.
Usaha kerajaan mempertahankan kedaulatan negara terutamanya berhubung tuntutan terhadap Malaysia daripada lapan individu yang mendakwa sebagai waris Kesultanan Sulu, terus mendapat sokongan penuh rakyat.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Usaha kerajaan mempertahankan kedaulatan negara terutamanya berhubung tuntutan terhadap Malaysia daripada lapan individu yang mendakwa sebagai waris Kesultanan Sulu, terus mendapat sokongan penuh rakyat.

Ketua UMNO Bahagian Kalabakan, Samasuddin Yusop berkata, langkah mempertahankan kedaulatan negara melalui platform perundangan adalah wajar dalam memastikan tidak ada mana-mana pihak lagi selepas ini sewenang-wenangnya membuat sebarang tuntutan terhadap Malaysia.

"Untuk kes ini (Sulu) segala apa yang dituntut itu telah menimbulkan rasa yang tidak selamat, kita orang Sabah rasa diganggu-gugat...jadi kami menyambut baik usaha kerajaan mempertahankan kedaulatan negara menerusi aspek perundangan dan teruskanlah cadangan untuk menyaman pihak yang terlibat secara langsung mahupun tidak langsung dalam gerakan tuntutan itu.

"Kita memang patut bertegas dengan kumpulan (pengganas Sulu) ini, kejahatan yang mereka lakukan kepada kita sebelum ini (pencerobohan Lahad Datu) tidak boleh diterima, dalam ketegasan ini penghargaan kita harus diberikan kepada Datuk Seri Azalina Othman Said (Menteri Undang-Undang dan Reformasi Institusi) dan Menteri Luar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir,” katanya kepada Bernama ketika ditemui pada Perhimpunan Agung UMNO 2023 di sini pada Sabtu.

Sementara itu Ketua Penerangan UMNO Kedah, Datuk Shaiful Hazizy Zainol Abidin berkata, Malaysia bertuah kerana Azalina dan Zambry terbukti mempunyai kredibiliti dan kemampuan dalam menangani isu berkenaan di peringkat antarabangsa.

"Usaha kita mempertahankan kedaulatan negara ini amat penting, terutamanya daripada pihak-pihak yang tidak diiktiraf oleh mana-mana pihak mahupun negara.

"Namun ikhtiar ini hakikatnya memerlukan sokongan dan kerjasama rakyat, maknanya dalam aspek kedaulatan ini, kita seharusya bersatu padu, ketepikan ideologi berbeza dan fahaman politik, bantu kerajaan pertahan hak kita,” katanya.

Ketua Penerangan UMNO Pulau Pinang, Datuk Mohd Noor Ahmad pula berkata, kejayaan pasukan perundangan negara mempertahankan kepentingan negara daripada tuntutan lapan individu yang mendakwa waris Kesultanan Sulu itu adalah bukti jelas bahawa Malaysia di pihak yang benar.

Mohd Noor juga menyokong penuh keputusan kerajaan Malaysia menghentikan pembayaran wang serahan RM5,300 setahun kepada kumpulan yang mengaku waris Kesultanan Sulu selepas tragedi pencerobohan pengganas di Kampung Tanduo, Lahad pada 2013.

Mahkamah Rayuan Paris pada Selasa lepas memutuskan untuk mengekalkan keputusan membenarkan Malaysia mencabar sebahagian award yang diputuskan oleh Dr Gonzalo Stampa pada 25 Mei 2020 dalam kes tuntutan lapan rakyat Filipina yang mendakwa sebagai waris Kesultanan Sulu.

Kumpulan yang mendakwa sebagai waris Kesultanan Sulu itu dilaporkan mengambil tindakan undang-undang di Mahkamah Sepanyol untuk mendapatkan pampasan bagi tanah di Sabah, yang didakwa dipajak oleh nenek moyang mereka kepada syarikat perdagangan British pada 1878. - Bernama

ARTIKEL BERKAITAN:

Keputusan mahkamah rayuan Paris bukti tuntutan Sulu tiada merit: Hajiji

Kejayaan Malaysia dalam kes tuntutan Sulu bukti kebenaran dibawa negara

Tuntutan Sulu: Kerajaan ambil segala tindakan pertahan kedaulatan negara