Kementerian perlu bertindak isu tambang bas sekolah

Kementerian Pengangkutan perlu mewujudkan satu situasi menang-menang mengenai isu kadar tambang bas sekolah. - Gambar hiasan
Kementerian Pengangkutan perlu mewujudkan satu situasi menang-menang mengenai isu kadar tambang bas sekolah. - Gambar hiasan
A
A
A

SHAH ALAM - Kementerian Pengangkutan perlu mewujudkan satu situasi menang-menang dan bukannya bertindak berdiam diri mengenai isu kadar tambang bas sekolah.

Ketua Aktivis Pengangkutan Darat Malaysia, Kamarudin Hussain berpandangan, kementerian mungkin boleh memberhentikan perkhidmatan bas percuma kepada pelancong atau menyediakan dana khas bagi memberi subsidi atau bantuan khas kepada pengusaha bas sekolah.

Beliau menambah, ini bagi menampung kos pengoperasian pengusaha bas sekolah pada musim cuti sekolah.

"Merujuk kembali isu kadar tambang bas sekolah yang ketika ini agak rancak dibahaskan di media, kami ingatkan kepada ibu bapa supaya mengamalkan sikap bertimbang rasa dengan pengusaha bas sekolah yang terpaksa menanggung kos pengoperasian bulanan tanpa sebarang pengecualian mahupun pengurangan.

"Namun di sebalik sikap bertimbang rasa yang perlu diamalkan oleh ibu bapa, kami berpendapat pihak yang seharusnya memainkan peranan penting adalah Kementerian Pengangkutan.

"Pihak kementerian seharusnya mewujudkan satu situasi menang-menang dan bukannya bertindak berdiam diri serta membiarkan isu ini berlarutan setiap tahun," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Dalam pada itu, beliau berkata, terdapat banyak masalah lain berkaitan industri pengangkutan yang berlarutan sehingga ke hari ini tanpa sebarang penyelesaian.

"Sebagai contoh isu kesamarataan di antara teksi dan e-hailing. Isu ini telah berlarutan lebih 10 tahun namun malangnya Kementerian Pengangkutan hanya membiarkan isu tersebut berterusan tanpa sebarang usaha penyelesaian sehingga kini," ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Pada Ahad sebuah media tempatan melaporkan tiada pengecualian kadar tambang bas walaupun sekolah bercuti tiga minggu pada bulan Disember.

Itu antara respon Presiden Gabungan Persatuan Bas Sekolah Malaysia (GPBSM), Mohd Rofik Mohd Yusof yang mengakui perkara itu telah termaktub pada syarat yang ditetapkan kepada ibu bapa sejak sesi persekolahan bermula awal tahun ini.

Katanya, pembayaran secara penuh itu adalah bagi membantu pengusaha bas yang sekadar meraih hasil pendapatan dengan perkhidmatan tersebut selain untuk menampung kos operasi.

Selain itu, Kamarudin berkata, masalah berkaitan kebajikan pemandu lori dan bas yang turut tidak dipedulikan walaupun perkara tersebut telah berkali-kali dipanjangkan kepada Kementerian Pengangkutan oleh pelbagai persatuan berkenaan.

"Terbaharu dalam satu kejadian melibatkan seorang pemandu lori yang bekerja dengan majikan telah dikenakan tindakan penggantungan lesen memandu termasuk lesen memandu kereta dan lesen menunggang motosikal.

"Saya berpendapat itu satu tindakan yang zalim. Jika perlu lesen memandu pemandu terbabit digantung cukuplah pergantungan itu dikenakan terhadap kelas lesen memandu lori dan bukannya menggantung keseluruhan lesen memandu sehingga menafikan hak pemandu terbabit menggunakan kenderaan lain di atas jalan raya," jelasnya.

Beliau melihat sistem demerit yang diamalkan tidak relevan dan zalim.

"Pemandu lori terbabit hanyalah seorang pekerja yang harus mematuhi arahan syarikat dan apabila berlakunya pelanggaran undang-undang khususnya membawa muatan berlebihan sudah pastilah itu arahan syarikat.

"Seharusnya sistem demerit itu dilaksanakan kepada syarikat dan bukannya kepada pemandu melainkan kesalahan tersebut dilakukan oleh pemandu lori persendirian namun dalam kes seperti ini adalah tidak wajar pemandu terbabit dikenakan tindakan sezalim itu," katanya.

Sehubungan dengan itu, beliau meminta sistem demerit dimansuhkan atau setidak-tidaknya dikaji semula.

Sementara itu, Kamarudin turut mencadangkan supaya Majlis Pengangkutan Darat Negara (MPDN) ditubuhkan bagi membantu Kementerian Pengangkutan merombak serta menggubal semula semua peraturan.

"Ia di mana selama ini jelas bukan sahaja gagal membawa kemajuan kepada industri pengangkutan darat negara malah lebih ke arah menzalimi pemandu-pemandu kami.

"Marilah kita bersama-sama menyahut seruan Perdana Menteri untuk memacu negara ke arah lebih baik tanpa mencicirkan serta menjamin kebajikan pemain industri pengangkutan darat negara," jelasnya.