Mufti berbeza pandangan mengenai isu kalimah ALLAH

Laporan Sinar Harian pada Isnin.
Laporan Sinar Harian pada Isnin.
A
A
A

SHAH ALAM - Mufti Kelantan, Datuk Mohamad Shukri Mohamad berpandangan tindakan kerajaan menarik balik rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang memutuskan bahawa penganut agama Kristian boleh menggunakan kalimah ALLAH, baitullah, kaabah dan solat dalam penerbitan bahan agama Kristian bagi tujuan pembelajaran sudah tidak menjadi isu.

Jelas beliau, ia berikutan keputusan yang ditetapkan Mahkamah Tinggi pada 2021 itu adalah kebenaran menggunakan kalimah ALLAH dan tiga perkataan yang berkenaan bukan untuk tujuan sebaran kepada umum.

“Sebelum ini kita putuskan di Semenanjung Malaysia ni tak boleh..kalimah ALLAH hanya eksklusif untuk orang Islam. Jadi maknanya penyebaran secara terbuka itu tidak boleh.

“Tapi untuk antara Kristian ke Kristian terserah kepada mereka. Ia sudah tidak jadi isu. Sebab (penggunaan kalimah ALLAH, baitullah, kaabah dan solat) antara mereka sesama mereka.

“Yang jadi isu kalau ia untuk penyebaran kepada orang Islam. Kita halang atau pandangan kita dulu ialah menggunakan kalimah ALLAH dan lain-lain untuk penyebaran kepada umum,” katanya kepada Sinar Harian pada Selasa.

Tambah beliau, sekiranya penggunaan kalimah ALLAH dan tiga perkataan lain itu adalah untuk sebaran umum, ia telah bercanggah dengan enakmen.

“Kalau ia untuk dalam, bukan keluar, maknanya hanya sesama mereka, itu yang mahkamah putuskan dan tidak ada hak untuk kita sekat,” katanya.

Dalam pada itu, berdasarkan laporan media, Timbalan Mufti Perak, Datuk Zamri Hashim berpandangan sebaliknya dengan menegaskan bahawa kerajaan perlu mengambil kira dan menghormati keputusan Jawatankuasa Muzakarah, Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam (MKI) bagi memelihara kesucian nama ALLAH daripada sebarang bentuk penyelewengan dan penyalahgunaan kalimah ALLAH.

Sehubungan itu, beliau menggesa KDN mempertimbangkan semula keputusan menarik balik keputusan rayuan berkenaan.

“Ada beberapa negeri mewartakan keputusan ini. Perak mewartakan fatwa berkenaan. Fatwa mengenai penggunaan kalimah ALLAH hanya merujuk kepada Tuhan Yang Maha Esa dalam agama Islam sahaja pada 2010,” katanya.

Sementara itu, Mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Dr Wan Salim Wan Mohd Noor dalam kenyataannya berkata, penyelesaian terbaik adalah menyerahkan kepada pihak yang ahli dan mempunyai kepakaran dalam konteks isu berkenaan.

Katanya, isu berkenaan juga perlu dirujuk kepada Majlis Raja-Raja memandangkan Duli Tuanku adalah ketua agama Islam di negeri masing-masing manakala Duli Yang Maha Mulia Yang di-Pertuan Agong adalah ketua agama di negeri yang tiada Raja atau Sultan.

“Adalah lebih baik diserahkan kepada ahlinya bagi mencari penyelesaian yang adil untuk semua pihak terbabit.

“Mengikut laporan media, Peguam Kanan Persekutuan berpandangan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur telah terkhilaf dalam keputusan yang dibuatnya pada 10 Mac 2021 yang membenarkan kalimah Allah digunakan oleh agama selain Islam,” katanya.

Beliau juga menjelaskan, khusus di Pulau Pinang, Jawatankuasa Fatwa Negeri dalam mesyuarat pada 5 Mei 2008 memutuskan bahawa kalimah Allah hendaklah hanya digunakan secara eksklusif untuk agama Islam dan umat Islam sahaja.

“Jika ada mana-mana orang menggunakan kalimah ALLAH sebagai nama tuhan di dalam agama selain Islam maka ia dianggap sebagai menghina kesucian agama Islam.

“Kebebasan beragama untuk penganut agama lain bersyarat tidak melangkaui had sempadan agama Islam,” katanya.