Isu LCS: PH jangan berdiam diri

Ahmad Fadhli
Ahmad Fadhli
A
A
A

SHAH ALAM - Ketua Pemuda Perikatan Nasional (PN), Ahmad Fadhli Shaari mempersoalkan tindakan Pakatan Harapan (PH) yang berdiam diri mengenai peningatan kos pembinaan kapal tempur pesisir (LCS) Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).

Malah Ahli Parlimen Pasir Mas itu menggesa pemimpin PH yang sebelum ini lantang menyuarakan isu skandal LCS supaya mendesak kerajaan untuk mendedahkan perkara sebenar.

"Saya sudah ajukan pertanyaan di Dewan (Parlimen) berhubung harga setiap kapal LCS. Timbalan Menteri Pertahanan (Adly Zahari) pada masa itu tidak memberikan jawpaan yang tepat.

"Hari ini baharu didedahkan bahawa kos LCS sudah meningkat kepada lebih RM11 billion berbanding RM9 billion sebelum ini. RM2 billion duit rakyat rugi begitu sahaja tanpa sesiapa bertanggungjawab.

"Rakan-rakan PH yang sebelum ini turut menimbulkan isu LCS, jangan diam sahaja, tekan sehingga petualang sebenar dihadap ke pengadilan," katanya menerusi hantaran di laman Facebook pada Ahad.

Sebelum ini media melaporkan, Boustead Holdings Berhad (BHB) mendedahkan keseluruhan kos projek berkenaan meningkat kepada RM11.2 bilion susulan anak syarikatnya, Boustead Naval Shipyard Sdn Bhd (BNS) menandatangani enam kontrak tambahan bersama kerajaan.

Projek berkenaan yang didakwa sebagai perolehan pertahanan terbesar dalam sejarah negara mula mendapat perhatian tahun lalu selepas Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) mendedahkan tiada satu daripada enam kapal disiapkan walaupun kerajaan telah membelanjakan sejumlah RM6.08 bilion bagi projek itu.