Warga Bangladesh dalang jual permit kerja palsu ditahan

Antara peralatan yang dipercayai digunakan untuk menghasilkan permit kerja palsu dirampas menerusi serbuan yang dijalankan pada Rabu.
Antara peralatan yang dipercayai digunakan untuk menghasilkan permit kerja palsu dirampas menerusi serbuan yang dijalankan pada Rabu.
A
A
A

SHAH ALAM - Kegiatan penipuan permit kerja yang didalangi warga Bangladesh tumpas menerusi beberapa serbuan berasingan sekitar Shah Alam pada Rabu dan Khamis.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd Iqbal Ibrahim berkata, serbuan dijalankan sepasukan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah Komersial Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam dan Balai Polis Sri Muda.

"Kedua-dua suspek warga Bangladesh berumur lingkungan 20 dan 30 tahun itu diberkas kira-kira jam 7.30 malam dalam serbuan di sebuah rumah di Kampung Baru Hicom di sini pada Rabu.

"Serbuan yang dijalankan turut merampas beberapa peralatan iaitu sebuah komputer riba, sebuah mesin cetak, tiga pasport, 10 keping pas lawatan kerja sementara dan empat telefon bimbit yang digunakan untuk tujuan mengeluarkan permit kerja yang dipercayai palsu," katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Katanya, kedua-dua suspek bekerja sebagai tukang cuci di Glenmarie, Shah Alam.

"Susulan serbuan pertama, polis kemudiannya berjaya memberkas seorang lagi suspek lelaki warga Bangladesh berumur 30-an di sekitar kawasan Shah Alam.

"Siasatan mendapati kegiatan mengedar dan menjual permit disyaki palsu kepada warganegara asing dengan menawarkan harga yang lebih murah serendah RM200 serta cepat," katanya.

Menurutnya, kegiatan itu dijalankan oleh kesemua suspek terlibat sejak Oktober lalu.

Artikel Berkaitan:

"Siasatan turut mendapati kesemua suspek yang diberkas ini telah berada di negara ini sejak tiga tahun yang lalu.

"Kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan," katanya.