120 individu jual mercun, bunga api ditahan

120 individu ditahan atas kesalahan melanggar syarat tidak mempunyai lesen dan menjual bunga api tidak dibenarkan membabitkan nilai rampasan sebanyak RM3.3 juta sejak 28 Mac hingga 9 April lalu. - Foto Bernama
120 individu ditahan atas kesalahan melanggar syarat tidak mempunyai lesen dan menjual bunga api tidak dibenarkan membabitkan nilai rampasan sebanyak RM3.3 juta sejak 28 Mac hingga 9 April lalu. - Foto Bernama
A
A
A
KUALA LUMPUR - [KEMAS KINI] Polis Diraja Malaysia menahan 120 individu atas kesalahan melanggar syarat tidak mempunyai lesen dan menjual bunga api tidak dibenarkan membabitkan nilai rampasan sebanyak RM3.3 juta sejak 28 Mac hingga 9 April lalu.

Setiausaha Polis Diraja Malaysia (SUPM) Datuk Norsiah Mohd Saaduddin berkata, pemantauan dan pemeriksaan secara menyeluruh serta berterusan sedang giat dilaksanakan PDRM di seluruh negara termasuk penjualan secara atas talian melalui platform media sosial serta e-dagang.

"Orang ramai diingatkan supaya tidak terbabit dengan penjualan bunga api dan mercun secara haram. Tindakan tegas akan diambil berdasarkan undang-undang sedia ada.



"Semua kes terbabit disiasat mengikut Seksyen 8, Akta Bahan Letupan 1957 yang memperuntukkan hukuman penjara tujuh (7) tahun atau denda RM10,000 atau kedua-duanya sekali," dalam kenyataan pada Ahad.

Sementara itu, Norsiah berkata, pihaknya menerima sebanyak 6,526 permohonan bagi mendapatkan lesen menjual bunga api dan mercun sempena perayaan Aidilfitri tahun ini.

"Daripada jumlah itu sebanyak 5,188 permohonan diluluskan dan 1,338 ditolak kerana tidak memenuhi syarat ditetapkan," katanya.