Penghidap autisme terima Anugerah Pingat Emas USM

Ivan (tengah) bergambar bersama rakan-rakannya yang turur menerima anugerah khas USM.
Ivan (tengah) bergambar bersama rakan-rakannya yang turur menerima anugerah khas USM.
A
A
A

GEORGETOWN - Kerap gelisah antara cabaran utama penerima Anugerah Pingat Emas Universiti Sains Malaysia (USM), Ooi Ivan, sepanjang mengikuti pembelajaran selama empat tahun di universiti tersebut.

Lebih mesra disapa Ivan, anak sulung daripada dua beradik itu berkata, dia merupakan penghidap autisme kategori hiperaktif sejak berusia setahun enam bulan namun ia tidak menghalangnya untuk terus belajar sehingga ke menara gading.

Ivan berkata, walaupun mudah resah, dia mampu untuk mengikuti dan fokus setiap kelas selama sejam.

"Saya akui, kerap resah adalah cabaran paling utama yang perlu saya harungi. Bagaimanapun, saya mampu mengikuti setiap kelas saya selama empat tahun.

"Pensyarah dan rakan-rakan mungkin nampak saya tidak fokus tetapi sebenarnya saya masih mampu fokus," katanya pada sidang akhbar sempena Konvokesyen ke-60 USM di Bangunan Canselori di sini pada Rabu.

Selain itu, graduan berusia 24 tahun itu berkata, pihak universiti memberi kelonggaran kepadanya dengan menempatkannya di bilik asing ketika mengambil peperiksaan.

"Pihak universiti menyediakan bilik asing kepada saya malah saya diberi tambahan masa.

"Ini kerana, ketika peperiksaan, kadang-kadang emosi saya tidak stabil," katanya.

Artikel Berkaitan:

Tambah anak jati Perai itu berkata, dia bernasib baik apabila kakitangan USM dan rakan-rakan memahami keadaan dan banyak membantunya.

"Kejayaan ini bukan kerana usaha saya semata-mata malah di atas bantuan rakan-rakan dan kakitangan universiti. Mereka sangat membantu, tanpa mereka, saya tidak akan mengecapi kejayaan ini.

"Selain fokus di dalam kelas dan belajar di bilik, kerja khusus juga memainkan peranan penting. Saya tidak pernah culas dalam menyiapkan kerja khusus yang diberikan pensyarah," katanya.

Ivan yang bercita-cita ingin menjadi tenaga pengajar merupakan graduan Ijazah Sarjana Muda Pendidikan (TESOL) yang menerima Anugerah Pingat Emas USM bagi graduan cemerlang kelainan upaya, dengan memperolehi purata nilai gred kumulatif (CGPA) 3.72.

Bekas pelajar Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan Chung Ling, Butterworth itu sebelum ini memperolehi 10A dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan CGPA 3.33 dalam Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM).

Sementara itu, Arief Ferdaus Azmi, 22 berkata, dia bersyukur kerana berjaya menunaikan hasrat ibunya yang ingin melihat dia berjaya dalam jurusan bahasa Inggeris.

Arief adalah penerima Ijazah Sarjana Muda Bahasa Inggeris Untuk Profesional dan penerima Pingat Emas Canselor USM bagi pelajar tahun akhir terbaik dalam segala lapangan.

"Jika ikutkan minat saya, saya lebih berminat dengan sains politik namun apabila ibu, Norliza Abdul Rahman mencadangkan agar saya mengambil jurusan bahasa Inggeris, saya turutkan saja.

"Alhamdulillah, di atas restu ibu dan bapa, saya berjaya memperolehi kejayaan pada hari ini. Saya bercita-cita untuk menyambung pelajaran ke luar negara dan akan menjadi pensyarah pada satu hari nanti," katanya.

Selain Ivan dan Arief, Muhammad Nasri Nasehir Khan, 23 turut menerima Anugerah Pelajaran Diraja Oleh Majlis Raja-Raja Malaysia bagi pelajar terbaik kategori bumiputera dan Siek Jia Wen, 24 untuk pelajar terbaik kategori bukan bumiputera.

Bagi Anugerah Pingat Emas Naib Canselor untuk pemimpin pelajar cemerlang pula, ia dianugerahkan kepada Farah Zahidah Abdul Halim yang berusia 22 tahun.

Upacara konvokesyen ke-60 USM yang merangkumi 12 sidang akan bermula pada Sabtu ini sehingga 14 Disember ini di Dewan Tuanku Syed Putra, USM.

Sidang pertama melibatkan 478 graduan akan dipengerusikan Raja Perlis yang juga Tuanku Canselor, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail pada jam 10.30 pagi, 3 Disember.

Seramai 7,282 graduan akan menerima ijazah masing-masing termasuk dua untuk gelaran Profesor Emeritus, 493 untuk Ijazah Tinggi (Doktor Falsafah), 1,732 untuk Sarjana, 4,984 untuk Ijazah Sarjana Muda dan 69 untuk Diploma Kejururawatan.