Beri tumpuan kepada potensi sukan sumbang pingat emas

Mohd Hisamudin
Mohd Hisamudin
A
A
A

KEMENTERIAN Belia dan Sukan (KBS) serta Majlis Sukan Negara (MSN) perlu mengatur strategi terbaik dengan menilai semula beberapa sukan berpotensi menyumbang lebih banyak pingat dalam temasya yang akan disertai pada masa hadapan.

Senator, Datuk Mohd Hisamudin Yahaya berkata, langkah tersebut termasuk menambah peruntukan kewangan dan menghantar atlet berpotensi untuk berlatih di luar negara serta merangka program latihan intensif lebih baik.

“Ini bukan bermakna agensi yang bertanggungjawab meminggirkan sukan yang lain, tetapi perlu meningkatkan kualiti atlet berpotensi menyumbang pingat emas buat negara.

“Persatuan sukan di negara ini perlu memberikan maklumat yang tepat kepada KBS, MSN dan juga Majlis Olimpik Malaysia (MOM) bagi mengelak sasaran yang diletakkan dalam mana-mana kejohanan lebih bersifat ‘syok sendiri’ dan gagal direalisasikan oleh atlet,” ujarnya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Tambah beliau, kegagalan atlet Malaysia di Sukan SEA Kemboja 2023 tidak wajar diletakkan kepada Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh dan Timbalannya, Adam Adli Abdul Halim sepenuhnya berikutan atlet negara hanya membawa pulang 34 pingat emas berbanding 40 emas yang disasarkan.

Menurutnya, pencapaian atlet Malaysia tidak gagal walaupun kurang menepati sasaran, namun atlet muda yang dihantar dilihat berjaya melakar kejutan dan menempa kejayaan termasuk memecahkan rekod kebangsaan.

“Sasaran yang diletakkan persatuan sukan juga perlu realistik dengan kemampuan atlet masing-masing dan bukan hanya ‘gah’ dengan sasaran, namun bergelut untuk menunaikan apa yang ditetapkan apabila memasuki kejohanan sehingga menjejaskan imej negara.

“Pendedahan kepada barisan atlet muda dan kejayaan yang dicapai mereka juga merupakan persiapan terbaik menjelang Sukan SEA 2025 di Thailand dan juga Sukan SEA Kuala Lumpur pada 2027.

“65 peratus atlet membuat penampilan pertama di Sukan SEA sekali gus membuktikan kita sebenarnya berani memberi peluang kepada atlet muda yang bakal menjadi aset sukan negara pada masa hadapan,” katanya.