Syafiq dedikasi pingat emas buat ibu

Syafiq
Syafiq
A
A
A

ATLET taekwondo negara, Muhammad Syafiq Zuber mendedikasikan pingat emas dimenangi pada Sukan SEA 2023 di Phnom Penh kepada ibunya sempena Hari Ibu yang disambut pada Ahad.

Kejayaan Syafiq mengungguli kategori kyorugi lelaki bawah 80 kilogram (kg) itu sekali gus menghadiahkan pingat emas ke-30 buat kontinjen negara pada temasya kali ini.

Pada saingan final berlangsung di Pusat Konvensyen Chroy Changvar, atlet berusia 23 tahun itu bangkit daripada ketinggalan untuk menewaskan lawannya dari Indonesia, Naufal Khairudin Osanando, 2-1.

Kejayaan tersebut juga mengulangi pencapaiannya pada edisi di Hanoi, Vietnam, tahun lalu apabila meraih emas dalam acara berkenaan.

Lebih membanggakan pencapaian Syafiq itu melegakan kem negara yang ketandusan pingat emas pada hari ke-10 temasya itu pada Isnin.

Ketika ditemui pemberita, Syafiq menzahirkan rasa syukur atas kejayaan mempertahankan gelaran tersebut dan dapat menunaikan permintaan ibunya, Salmah Shafie agar dia membawa pulang pingat emas.

“(pingat emas) Ini hadiah untuk ibu saya sempena Hari Ibu...dia kata supaya saya bawa balik pingat emas. Pada mulanya saya tidak janji apa-apa tetapi Alhamudillah saya dapat tunaikan permintaannya,” katanya.

Dia turut merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada jurulatih, rakan sepasukan, Majlis Sukan Negara dan Institut Sukan Negara yang banyak membantunya sehingga dapat mempertahankan pingat emas tersebut.

Mengenai pertarungan hari ini, dia tidak menjangka dapat memenangi saingan tersebut kerana belum pernah bertemu lawannya sebelum ini.

“Saya masih tidak percaya dapat memenangi pingat emas ini. Tetapi saya beritahu kepada diri sendiri saya boleh melakukan yang terbaik. Sudah tentu tekanan adalah tinggi tetapi saya gembira dapat sekali lagi memenangi emas.

“Bukan mudah mempertahankannya. Saya hanya ikut arah jurulatih, Alhamdulillah saya berjaya,” katanya bahawa kem latihan selama dua bulan di Korea Selatan serta pengorbanan dilakukan apabila tidak dapat menyambut Aidilfitri bersama keluarga adalah berbaloi.

Pingat emas dimenangi Syafiq pada hari terakhir acara taekwondo itu adalah ketiga daripada kem taekwondo negara selepas dua emas diraih dalam acara poomsae, sebelum ini. - Bernama