Kabinet baharu perlu dibarisi ahli politik, teknokrat

Ahmad Zaharuddin
Ahmad Zaharuddin
A
A
A

ALOR SETAR - Pembentukan kabinet bawah Kerajaan Perpaduan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim disaran menggabungkan golongan teknokrat selain diisi oleh ahli Parlimen daripada pelbagai parti politik.

Penganalisis politik, Dr Ahmad Zaharuddin Sani Ahmad Sabri berkata, ini bagi mengurangkan anggota kabinet terjebak dalam ‘mainan politik’ selain meletakkan individu yang benar-benar mempunyai kredibiliti menjawat portfolio yang diwujudkan.

Menurutnya, mengecilkan saiz kabinet tidak akan menyelesaikan kemelut negara sekiranya tidak diisi oleh individu yang berkaliber dan berintegriti.

Apa dijanjikan oleh Perdana Menteri ialah kabinet yang lebih kecil atas paksi mengurangkan kos dan menjimatkan perbelanjaan negara.

“Kalau kita kurangkan anggota kabinet sekalipun tetapi yang diletakkan di posisi kabinet itu terdiri daripada pemimpin yang mempunyai agenda politik tertentu, ia tidak merubah apa-apa,” katanya kepada Sinar Harian di sini pada Selasa.

Menurutnya, dibimbangi lantikan jawatan kabinet ditawarkan kepada individu yang tidak mempunyai kredibiliti disebabkan mengikut kuota parti kerana ia penting bagi memastikan perjalanan sesebuah kementerian ditunjangi pemimpin berkebolehan.

“Sebelum itu, perlu pastikan kementerian yang akan diwujudkan atau gabungan-gabungan kementerian dibentuk dengan sempurna.

“Diharapkan Perdana Menteri dapat wujudkan gabungan yang tidak terlalu jauh portfolionya. Perlu diingatkan pengurangan kementerian bermakna pengurangan tenaga Pegawai Tadbir dan Diplomatik (PTD), di mana mereka akan diserapkan, ini juga tidak efisien selain mungkin menjurus kepada ketirisan,” katanya lagi.

Artikel Berkaitan:

Ahmad Zaharuddin berkata, selepas penyatuan antara kementerian-kementerian, perkara yang perlu difikirkan oleh Anwar ialah memilih mereka yang berkebolehan dan tidak semestinya kalangan ahli-ahli Parlimen semata-mata.

“Sebelum ini, di depan mata kita sudah berlaku perebutan antara satu sama lain. Bagaimana mahu mengelak berlakunya isu sama seperti yang berlaku tiga, empat tahun lalu berhubung ketidakpercayaan dan keabsahan.

“Disebabkan itu saya usulkan agar jawatan-jawatan penting dalam kabinet atau GLC diberikan kepada orang bukan politik supaya mereka kurang bermain politik dan memfokuskan kepada negara, iaitu penglibatan teknokrat,” ujarnya.

Menurutnya lagi, lantikan golongan teknokrat boleh dilakukan dengan melantik mereka sebagai ahli Dewan Negara dan telah pun dibuktikan dalam kerajaan sebelum ini.

“Ia bukan sesuatu yang mustahil. Sebelum ini bekas Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz pun asalnya bukan ahli politik tetapi diberikan jawatan berdasarkan kepada teknokrat. Ini termasuk bekas Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri.

“Kedua-duanya bukan orang politik, jadi kita boleh melantik individu yang difikirkan sesuai ke jawatan kabinet, ini penting supaya anggota kabinet kurang berpolitik dan lebih fokus berhujah dalam Parlimen,” katanya.

Tegasnya, negara termasuk dunia bakal berdepan kemelesetan ekonomi pada 2023 dan negara memerlukan individu yang bekerja, bukan individu yang memfokus hanya kepada matlamat politik.