Pusat hiburan tanpa lesen tawar GRO warga asing diserbu

Antara wanita warga asing yang ditahan kerana disyaki bekerja sebagai GRO. - Foto PDRM
Antara wanita warga asing yang ditahan kerana disyaki bekerja sebagai GRO. - Foto PDRM
A
A
A

KUALA LUMPUR - Sebuah pusat hiburan di Taman Usahawan, Kepong di sini digempur dalam Op Noda kerana beroperasi tanpa lesen.

Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Beh Eng Lai berkata, seramai enam wanita warga asing disyaki bekerja sebagai pelayan pelanggan (GRO) turut ditahan dalam serbuan jam 11.15 malam, Ahad itu.

"Siasatan mendapati premis tersebut telah digunakan sebagai pusat hiburan dan menjalankan perniagaan tanpa lesen.

"Hasil serbuan, pihak polis menahan enam wanita warga asing berumur lingkungan 28 hingga 37 tahun yang dipercayai bekerja sebagai GRO di pusat hiburan terbabit," katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Eng Lai berkata, pasukan serbuan turut menahan seorang lelaki tempatan berusia 28 tahun yang disyaki bekerja sebagai penjaga premis.

Beliau berkata, pelbagai peralatan audio yang digunakan bagi tujuan hiburan juga dirampas bersama sekeping resit perniagaan bagi membantu siasatan.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 4(1) Akta Hiburan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Seksyen 55B Akta Imigresen 1959/63 dan Seksyen 39b Peraturan Imigresen 1963," ujar beliau.

Artikel Berkaitan: