Suri rumah paling ramai tolak vaksin

Mohd (dua, kiri) melihat bahagian suntikan imunisasi yang dilakukan terhadap bayi yang dipamerkan sempena Kempen Hidup Aktif - Walk Peringkat Negeri 2019 di Dataran Shahbandar, semalam.
Mohd (dua, kiri) melihat bahagian suntikan imunisasi yang dilakukan terhadap bayi yang dipamerkan sempena Kempen Hidup Aktif - Walk Peringkat Negeri 2019 di Dataran Shahbandar, semalam.
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Golongan suri rumah paling ramai dikesan di negeri ini menolak pengambilan suntikan imunisasi terhadap anak mereka.

Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu, Dr Mohd Jusoh berkata, kebanyakan yang menolak hampir di semua daerah di Terengganu dengan kes tertinggi direkodkan di Kuala Terengganu berdasarkan ketinggian populasi penduduk.

“Daripada statistik pekerjaan ibu, golongan suri rumah paling ramai menolak vaksin iaitu 124 kes (64.9 peratus) pada 2017 dan meningkat kepada 158 kes (68.4 peratus) pada 2018.

“Selain golongan suri rumah, golongan pekerja profesional dan non-profesional juga direkodkan menolak vaksin pada 2018 yang menyumbang kepada 231 kes penolakan vaksin iaitu seramai 42 kes dalam kalangan pekerja swasta dan 31 kes pekerja awam,” katanya ketika ditemui media selepas merasmikan Kempen Hidup Aktif - Walk Peringkat Negeri 2019 di Dataran Shahbandar, hari ini.

Dalam perkembangan sama, beliau berkata, antara sebab tertinggi penolakan ialah ragu terhadap kandungan vaksin sebanyak 97 kes (42 peratus).

Selain itu, katanya, terdapat 90 kes (39 peratus) ibu bapa menolak disebabkan isu halal haram, 13 kes (5.6 peratus) menolak disebabkan pengaruh rakan atau keluarga dan lima kes disebabkan pengaruh Internet dan media sosial.

Mengulas lanjut, katanya, pihaknya akan terus memberikan kesedaran terhadap golongan itu walaupun bilangan yang kembali memberi vaksin tidak sampai 10 peratus.

“Tidak sampai 10 peratus daripada 231 kes ibu bapa yang tidak mengambil suntikan imunisasi terhadap anak mereka yang dikesan di negeri ini pada 2018, kembali membuat penjadualan semula vaksin kepada anak mereka.

Artikel Berkaitan:

“Bagaimanapun, kita akan sentiasa berusaha beri nasihat, memberi penerangan dan mengajak mereka supaya menerima vaksin sebagai salah satu cara untuk mencegah penyakit,” katanya.