Cadang Bukit Kledang diuruskan oleh MBI

Zahari (depan, tengah) bersama pegawai dan anggota yang terlibat dalam Operasi Bersepadu Smart Patrol di Sungai Siput.
Zahari (depan, tengah) bersama pegawai dan anggota yang terlibat dalam Operasi Bersepadu Smart Patrol di Sungai Siput.
A
A
A

SUNGAI SIPUT - Jabatan Perhutanan Perak mencadangkan supaya kawasan rekreasi Bukit Kledang di Kawasan Hutan Simpan Kledang Saiong, daerah Kinta diuruskan oleh Majlis Bandaraya Ipoh (MBI).

Pengarahnya, Datuk Mohamed Zin Yusop berkata, langkah itu bagi membolehkan pihak berkuasa tempatan (PBT) terbabit membangunkan kawasan berkenaan.

"Cadangan terbaharu ini adalah beri permit kepada MBI dan mereka akan memajukan kawasan itu kerana sebelum ini kita mencari satu badan atau agensi yang boleh menguruskan kawasan itu.

"Kita pernah tawarkan kepada komuniti setempat namun tidak ada yang sanggup menguruskan tambahan kita terima laporan kes denggi dan aduan tandas kotor.

"Kita tidak bangunkan kawasan itu tetapi komuniti yang bangunkan jadi, ia tanggungjawab mereka. Apabila berlaku kes seperti ini kenalah kita buat gotong-royong bersihkan dan sebagainya," katanya.

Beliau ditemui pada majlis penutup Operasi Bersepadu Smart Patrol negeri Perak yang disempurnakan oleh Timbalan Ketua Pengarah Perhutanan Semenanjung Malaysia (Dasar & Perancangan), Datuk Zahari Ibrahim di Kompleks Latihan Perhutanan di sini pada Jumaat.

Mohamed Zin berkata, perbincangan awal bersama PBT terbabit telah dilakukan dan satu kertas akan disediakan kepada kerajaan negeri.

"Perbincangan awal dengan MBI telah dilakukan dan kemungkinan besar MBI yang akan uruskan tetapi kawasan itu tetap hutan simpan (status). Konsepnya sama seperti di Bukit Larut.

Artikel Berkaitan:

"Mengenai bayaran permit, ia terpulang kepada MBI nanti. Kita akan sediakan satu kertas untuk pertimbangan Exco Kerajaan Negeri dalam masa terdekat sama ada tahun ini atau awal tahun depan," katanya.

Sebelum ini, Jabatan Perhutanan Perak menerusi satu hebahan memaklumkan akan menguatkuasakan permit memasuki HSK bagi menjalankan aktiviti rekreasi harian, melalui pas bermusim di lokasi itu selaras Seksyen 47(1) Akta Perhutanan Negara 1984.

Kerajaan negeri bagaimanapun menangguhkan sementara bayaran permit tahunan dan mengarahkan jabatan terbabit menyediakan kertas makluman mengenai perkara itu.