Gesa kerajaan tolak laporan EIA projek ladang hutan Kledang Saiong

A
A
A

IPOH - Jaringan Menyelamatkan Hutan Simpan Kledang Saiong menggesa pihak kerajaan supaya menolak laporan penilaian impak alam sekitar (EIA) bagi projek ladang hutan seluas 4,230 hektar di Hutan Simpan Kekal (HSK) Kledang Saiong di Kuala Kangsar.

Jurucakapnya, Dr Michael Jeyakumar Devaraj berkata, kajian yang disediakan sebuah syarikat perunding itu didakwa sebagai berat sebelah dan tidak profesional.

Menurutnya, hasil daripada penelitian yang dijalankan, wujud banyak kesilapan dan andaian yang jauh daripada realiti dalam laporan berkenaan.

"Perkara ini telah dibawa kepada Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Nik Nazmi Nik Ahmad, April lalu memaklumkan laporan yang dikeluarkan itu banyak kesilapan dan bersifat andaian. Jadi, kita minta kerajaan tolak EIA ini.

"Kami juga minta Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad mengambil langkah sama berikutan kerajaan negeri bercadang akan melancarkan projek ladang hutan sebaik sahaja menerima laporan EIA itu," katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyerahkan memorandum 'Hentikan Projek Ladang Hutan di Hutan Kledang Saiong' kepada Pegawai Khas Pejabat Menteri Besar Perak, Rahim Nawawi di Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri Perak di sini pada Isnin.

Sementara itu, Penyelidik Lapangan Sahabat Alam Malaysia (SAM), Meor Razak Meor Abdul Rahman berkata, tinjauan dan gambaran satelit membuktikan bahawa kawasan hutan berkenaan bukanlah hutan miskin seperti yang dilaporkan.

Jaringan Menyelamatkan Hutan Simpan Kledang Saiong terdiri daripada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) menggesa kerajaan hentikan projek ladang hutan di Kuala Kangsar.
Jaringan Menyelamatkan Hutan Simpan Kledang Saiong terdiri daripada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) menggesa kerajaan hentikan projek ladang hutan di Kuala Kangsar.

"Skala keluasan projek ini besar boleh buat satu bandar. Berdasarkan laporan EIA itu sendiri, kawasan itu merupakan kawasan yang kaya dengan kepelbagaian biologi terutama hidupan liar.

"Impaknya memberi kesan kepada alam sekitar, sosio ekonomi setempat dan kemusnahan habitat. Jadi, jika kita ganggu (teroka hutan), tidak mustahil ia akan menimbulkan konflik antara manusia dan hidupan liar," katanya.

Tambahnya, sebanyak tiga memorandum telah dihantar termasuk Pejabat Istana Perak setakat ini namun, tiada sebarang maklum balas yang diterima setakat ini.

"Kami rasa kecewa apabila kerajaan negeri kurang memberi penekanan kepada pengurusan hutan dengan melaksanakan pembalakan dengan kaedah tebang habis dan menggantikan ladang dengan satu spesis sahaja.

"Kenapa tidak kekalkan sahaja kawasan hutan ini dan melaksanakan sistem pengurusan secara selektif sejajar dengan hasrat kerajaan negeri menjadikan Perak Bumi Lestari," katanya.

Pada Februari lalu, Saarani dilaporkan telah menyembah maklum kepada Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah mengenai pembangunan ladang hutan seluas 4,280 hektar di Hutan Simpan Kledang Saiong selepas beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) menyatakan kebimbangan kemusnahan hutan akibat projek tersebut.

Menurut beliau, projek ladang hutan itu dijalankan mengikut peraturan dan tidak dilaksanakan sewenang-wenangnya malah mendapat kebenaran daripada menteri yang berkenaan.

Rahim (kiri) mewakili pejabat Menteri Besar Perak menerima memorandum yang diserahkan Meor Razak (dua dari kanan) bagi Hentikan Projek Ladang Hutan di Hutan Kledang Saiong.
Rahim (kiri) mewakili pejabat Menteri Besar Perak menerima memorandum yang diserahkan Meor Razak (dua dari kanan) bagi Hentikan Projek Ladang Hutan di Hutan Kledang Saiong.