Sanusi nafi beri permit pencuri REE masuk hutan simpan

Muhammad Sanusi melayan penyokong yang ingin berswafoto biarpun dalam keadaan hujan lebat.
Muhammad Sanusi melayan penyokong yang ingin berswafoto biarpun dalam keadaan hujan lebat.
A
A
A

BALING - Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor menafikan beliau memberi permit kepada pencuri untuk memasuki hutan simpan sepertimana dakwaan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.

Ketua Pengarah Pilihan Raya Perikatan Nasional (PN) itu berkata, dakwaan Saifuddin Nasution bahawa dirinya telah memberi kebenaran kepada pencuri unsur nadir bumi (REE) untuk memasuki kawasan Hutan Simpan Bukit Enggang, Sik adalah tidak benar sama sekali.

"Dia (Saifuddin Nasution) kata Sanusi beri kebenaran kepada pencuri REE masuk hutan simpan, ni nak oyat (beritahu) mu ni pudin, dengar, kebenaran masuk hutan simpan hanya boleh dikeluarkan oleh Jabatan Perhutanan, bukan MB dan bukan Pejabat Menteri Besar, bukan Pejabat Daerah, bukan agensi lain.

"Satu-satunya agensi yang boleh keluar permit masuk hutan simpan adalah Jabatan Perhutanan bukan MB cek ooi," katanya ketika hadir ke Program Calon PN Baling bersama Gathering Anak Baling di Padang Awam Kampung Lalang Siong di sini pada Rabu.

Sebaliknya, Muhammad Sanusi mendakwa Setiausaha Agung Pakatan Harapan (PH) itu sebenarnya memasuki Hutan Simpan Bukit Enggang tanpa permit.

"Satu manusia telah dikesan masuk Hutan Simpan Bukit Enggang Kompartmen 12 tanpa permit masuk hutan (iaitu) Jabatan Perhutanan namanya Saifuddin Nasution...Dia tak mohon permit, dia boleh didakwa kerana masuk tanpa permit," dakwanya.

Muhammad Sanusi disambut penyokong biarpun dalam keadaan hujan lebat semasa Program Calon PN Baling bersama Gathering Anak Baling di Padang Awam Kampung Lalang Siong, Baling, pada Rabu.
Muhammad Sanusi disambut penyokong biarpun dalam keadaan hujan lebat semasa Program Calon PN Baling bersama Gathering Anak Baling di Padang Awam Kampung Lalang Siong, Baling, pada Rabu.

Muhammad Sanusi bagaimanapun menjelaskan, biarpun dilantik sebagai MB, namun setiap kali ada keperluan untuk memasuki kawasan hutan simpan, beliau tetap memohon permit kepada agensi berkenaan.

Artikel Berkaitan:

"Kata hat padan dengan mu saja, jadi bom atom tu tak meletop tuan-tuan, kalau tak meletop, tuan dia ambik taruh kelik boh bawah katil malam-malam dia meletop oo, jaga," katanya secara berseloroh.

Jelas Muhammad Sanusi, prosedur berkenaan adalah tata kelola yang dilaksanakan kerajaan negeri sepanjang tiga tahun di bawah pentadbiran beliau di mana setiap agensi dan jabatan melaksanakan tugas masing-masing tanpa mencampuradukkan satu sama lain.

"Inilah tata kelola tadbir urus yang kita laksanakan selama tiga tahun, agensi buat kerja agensi, jabatan buat kerja jabatan, exco buat kerja exco, saya buat kerja saya, buat kerja masing-masing, kita tak campur gaul semua ni.

"Macam Pudin dia gaul ke semua masuk dalam guni dia hirit (mengasingkan bahan dengan kaki) sekali," dakwanya.

Sebelum ini, Saifuddin Nasution pada sidang media mempersoalkan bagaimana pencuri REE boleh naik ke kompartmen 12 Hutan Simpan Bukit Enggang dan melepasi empat pagar keselamatan yang kesemuanya berpengawal.

Dakwanya, tidak mungkin pencuri mineral terbabit dapat melepasi kesemua pagar berkenaan sekiranya mereka tidak diberi kebenaran oleh Perbadanan Menteri Besar (MBI) Kedah untuk sampai ke lokasi kejadian.

Sementara itu, dalam program berkenaan, lebih 1,000 penyokong hadir menunggu ketibaan Muhammad Sanusi yang tiba pada jam lebih kurang 6.23 petang sebelum bersurai kira-kira setengah jam kemudian dalam keadaan hujan lebat.