Rayu segerakan bayaran 573 peneroka

Peneroka turut memegang sepanduk pada himpunan aman di Felda Jerangau Dungun.
Peneroka turut memegang sepanduk pada himpunan aman di Felda Jerangau Dungun.
A
A
A

DUNGUN - Seramai 573 peserta Skim Penanaman Semula Tanaman Kelapa Sawit Felda Jerangau, di sini, merayu pihak pengurusan tertinggi Felda agar menyelesaikan segera pembayaran elaun sara hidup bulanan kepada mereka yang kini tertunggak tiga bulan.

Mereka mendakwa kali terakhir menerima elaun sara hidup antara RM800 hingga RM1,300 sebulan mengikut keluasan ladang itu pada Januari lalu.

Ekoran keadaan itu, pendapatan kesemua peserta yang terdiri daripada golongan generasi pertama dan kedua peneroka terjejas dan terpaksa melakukan pekerjaan lain bagi menampung perbelanjaan harian selain ada yang terpaksa berhutang.

Wakil peneroka, Omar Mohammad, 77, dia dan peserta lain menyerahkan pengurusan ladang milik mereka untuk proses tanam semula kelapa sawit kepada anak syarikat Felda, Felda Technoplant Sdn Bhd dengan bayaran elaun sara hidup sepatutnya diterima setiap bulan berdasarkan keluasan ladang yang dilaksanakan penanaman semula itu.

Katanya, pembayaran yang tertunggak itu mengakibatkan terpaksa meminjam wang dengan anak-anak membeli barangan dapur dan mengisi minyak kenderaan.

"Kawan-kawan pakcik pun ramai juga yang terpaksa berhutang sana sini sebab kami hilang punca pendapatan sejak Februari lalu.

"Ikut pada perjanjian awal pada tahun pertama, pakcik patut terima elaun sara hidup bulanan RM1,000, tahun kedua RM1,200 dan tahun ketiga RM1,500 tapi keadaan sekarang sudah berubah kerana pembayaran yang dibuat seolah-olah tidak mengikut perjanjian asal apabila bertukar kerajaan kerana pembayaran yang diterima tidak seperti yang sepatutnya," katanya.

Berikutan keadaan itu, Omar dan hampir 50 peserta skim penanaman semula itu mengadakan himpunan aman dengan memegang sepanduk agar tunggakan elaun mereka dilangsaikan secepat mungkin.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, walaupun bertukar kerajaan sepatutnya pembayaran masih perlu mengikut perjanjian yang telah dibuat dan bukannya dibayar tidak mengikut waktu.

Che Wan Sulung Muda, 70, pula berkata, kelewatan pembayaran elaun itu sangat menyusahkan kerana segala pengurusan perbelanjaannya terganggu.

"Dahulu pakcik tak ada masalah nak uruskan perbelanjaan harian sebab pembayaran dilakukan antara 25 hingga 28 hari bulan dan sangat mudah nak bayar segala bil-bil utiliti, nak beli barang dapur dan sebagainya.

"Tapi sekarang pembayaran elaun ini dah tertunggak dekat tiga bulan, memang berbeza sangat dengan keadaan yang dulu dan sekarang memang kami dah merasa kesusahan itu," katanya.

Berikutan situasi itu, kata Che Wan Sulong keadaan peneroka sekarang boleh dikatakan memang teruk kerana terpaksa mencari sumber kewangan lain untuk menampung kehidupan mereka.

"Sekiranya keadaan ini berterusan memang malang bagi kami semua peneroka yang terlibat," katanya.

Dalam pada itu, Wan Abdul Ghani Wan Ismail, 77, berkata, kerajaan sepatutnya lebih cakna dengan nasib peneroka sekarang yang hidup yang boleh dikatakan kembali hidup dalam kesempitan disebabkan timbul pelbagai masalah sejak kerajaan baharu mengurus tadbir negara.

"Memang kami menderita sekarang dan sepatutnya kerajaan yang baru dipilih memikirkan sesuatu untuk mengatasi masalah ini dan ini amat mengecewakan kami kerana kerajaan sekarang dipilih oleh rakyat dan di mana slogan 'Kerajaan Rakyat' yang dilaung-laung itu?," soalnya.

Sementara itu Pengurus Besar Felda Wilayah Terengganu, Mohd Helmi Fakhzan Abd Wahab ketika dihubungi berkata, pihaknya kini dalam proses untuk membuat pembayaran elaun sara hidup peserta yang tertunggak di mana pembayaran tersebut akan dilakukan pada minggu hadapan.

Menurut beliau, pihaknya mengakui berkenaan kelewatan tersebut berikutan Felda kini menghadapi sedikit masalah berkaitan aliran wang tunai dan berjanji akan menyelesaikan masalah yang dihadapi oleh peneroka dengan secepat mungkin.

"Kami sedar dengan masalah yang timbul dan kami di peringkat tertinggi telah pun mengadakan perbincangan untuk mengatasi masalah ini dan berharap keadaan akan kembali pulih seperti biasa tidak lama lagi," katanya.

Kata Mohd Helmi, kertas putih hala tuju Felda yang telah dibentangkan pada sidang Dewan Rakyat di Parlimen baru-baru ini dan pelan strategik yang sedang dirancangkan bersama Kerajaan Pusat serta pengurusan tertinggi Felda akan memastikan elaun tersebut dapat dibayar mengikut waktu yang ditetapkan sebagaimana sebelum ini.