KPK usulkan geran penanaman semula sawit ke Kementerian Kewangan

Fadillah (tengah) beramah mesra bersama para pekebun kecil dan komuniti Orang Asli di Perkampungan Orang Asli Sungai Bumbun pada Ahad. - Foto Bernama
Fadillah (tengah) beramah mesra bersama para pekebun kecil dan komuniti Orang Asli di Perkampungan Orang Asli Sungai Bumbun pada Ahad. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LANGAT - Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK) akan mengusulkan kepada Kementerian Kewangan agar mengembalikan semula pemberian geran penanaman semula sawit, kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof.

Beliau yang juga Menteri Perladangan dan Komoditi berkata, geran berkenaan merupakan satu daripada permintaan penting para pekebun kecil sawit, kerana ketika ini terdapat tanaman itu yang telah tua dan perlu penanaman semula.

"Kita akan lihat kepada maklum balas dari pekebun kecil yang minta agar dikembalikan geran penanaman semula, dan Insya-ALLAH kita akan bawa ke Kementerian Kewangan, dan diharapkan ia akan dipertimbangkan dalam bajet akan datang,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Program Sembang Santai Trek Komoditi Kementerian Perladangan dan Komoditi bersama pekebun kecil sawit Negeri Selangor di Pulau Carey dekat sini.

Bercakap kepada media kemudiannya, Fadillah menjelaskan bahawa ketika ini apa yang kerajaan lakukan bagi inisiatif tanaman semula ialah pinjaman mudah yang dilaksanakan melalui Agrobank, dengan peminjam hanya dikenakan faedah atau yuran pengurusan dua peratus, dan mula membayarnya pada tahun kelima.

"Pinjaman ini bukan hanya untuk penanaman semula sahaja, tetapi juga untuk pembelian baja, racun, input pertanian serta pembelian alat pertanian, ini yang kita sediakan melalui pinjaman mudah ini,” tambahnya.

Program sembang santai itu adalah salah satu pendekatan turun padang kerajaan untuk bersemuka dengan pekebun kecil sawit terutamanya di negeri Selangor, selain dapat menyampaikan penerangan dan hebahan maklumat mengenai Amalan Pertanian Baik dan juga penerangan mengenai situasi pasaran sawit negara kepada pekebun kecil sawit.

Hari ini Fadillah juga turut menyantuni masyarakat Orang Asli semasa Program Sembang Santai bersama Pekebun Kecil Sawit Negeri Selangor bersempena Trek Komoditi (Zon Tengah Semenanjung) yang diadakan di Kampung Orang Asli Sungai Bumbun, Pulau Carey, Selangor.

Fadillah juga mengadakan Sesi Lawatan ke Pengusaha Coklat Premium berkonsep Beans to Bar sempena Trek Komoditi Zon Tengah 2023. - Bernama