Ujian sebenar Anwar kini bermula

Al-Sultan Abdullah berkenan menyampaikan Surat Cara Pelantikan dan Mengangkat Sumpah Jawatan dan Setia serta Sumpah Simpan Rahsia kepada Anwar pada Istiadat Pengurniaan sebagai Perdana Menteri ke-10 di Istana Negara. - Foto Bernama
Al-Sultan Abdullah berkenan menyampaikan Surat Cara Pelantikan dan Mengangkat Sumpah Jawatan dan Setia serta Sumpah Simpan Rahsia kepada Anwar pada Istiadat Pengurniaan sebagai Perdana Menteri ke-10 di Istana Negara. - Foto Bernama
A
A
A

DRAMA kemelut politik negara yang penuh mendebarkan berakhir dalam tempoh lima hari apabila Datuk Seri Anwar Ibrahim dinobatkan sebagai Perdana Menteri ke-10 pada Khamis.

Ini bermakna penantian dan perjuangan selama lebih dua dekad Anwar untuk menjadi Perdana Menteri Malaysia akhirnya menjadi kenyataan.

Tempoh kira-kira 120 jam selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) tersebut menyebabkan keresahan dalam kalangan rakyat mengenai masa depan negara kerana tiada parti yang mampu mencapai majoriti untuk membentuk kerajaan.

Satu daripada cadangan ialah dengan menubuhkan Majlis Gerakan Negara (Mageran) yang pernah dilaksanakan pada 15 Mei 1969.

Namun, dengan kebijaksanaan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, Seri Paduka Baginda telah berkenan melantik Anwar sebagai Perdana Menteri.

Keputusan pelantikan itu dibuat setelah Seri Paduka Baginda memperhalusi titah pandangan Raja-Raja Melayu pada sesi perbincangan khas yang berlangsung bermula jam 11 pagi Khamis.

Perbincangan khas itu juga bertujuan bagi Seri Paduka Baginda mendapatkan pandangan Raja-Raja Melayu untuk membolehkan baginda membuat keputusan terbaik demi kepentingan dan kesejahteraan negara serta rakyat.

Susulan pengumuman tersebut, bursa saham negara melonjak 14.83 mata sebaik sahaja dibuka untuk sesi dagangan harian kedua iaitu pada jam 2.30 petang. Ini menunjukkan bahawa berlaku peningkatan keyakinan daripada pelabur selepas Malaysia secara rasmi menubuhkan sebuah kerajaan perpaduan.

Artikel Berkaitan:

Oleh demikian, Anwar tidak boleh lagi meraikan bulan madu sebagai Perdana Menteri, sebaliknya perlu terus bekerja untuk memastikan segala janji yang telah dibuat dapat dilaksanakan dalam tempoh lima tahun akan datang.

Masih banyak cabaran dan liku-liku yang beliau dan kabinet yang bakal dibentuk perlu dilalui terutama dalam memastikan kedudukan ekonomi negara ditingkatkan.

Selain itu, kita ingin menasihatkan agar isu perpaduan dalam negara ini diselesaikan dengan segera selepas berlaku perpecahan teruk dalam kalangan rakyat.

Mungkin Anwar perlu melupuskan kementerian perpaduan, sebaliknya mengarahkan supaya agenda perpaduan diterapkan di semua kementerian.

Dengan itu, bukan sahaja sepatutnya sebuah kementerian sahaja bertanggungjawab tetapi ia peranan semua pihak.