'Saya akan pikul tugas berpandu kehendak, nurani rakyat' - Anwar

Anwar mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri ke-10 di Istana Negara pada Khamis. - Foto Twitter Anwar Ibrahim
Anwar mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri ke-10 di Istana Negara pada Khamis. - Foto Twitter Anwar Ibrahim
A
A
A

KUALA LUMPUR - Datuk Seri Anwar Ibrahim bersedia untuk menggalas tanggungjawab sebagai Perdana Menteri.

Menerusi ciapan di laman Twitternya, Ahli Parlimen Tambun itu beriltizam akan mengemudi kerajaan Persekutuan berpandukan kehendak dan nurani rakyat.

"Amanah akan digalas dengan penuh tawaduk dan bertanggungjawab.

"Tugas berat ini akan saya pikul berpandukan kehendak dan nurani rakyat bersama pasukan," ciapnya selepas selesai mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri ke-10 di Balai Singgahsana Kecil, Istana Negara di ibu negara, pada Khamis.

Istiadat Pengurniaan Suratcara Pelantikan dan Istiadat Mengangkat Sumpah Jawatan dan Setia serta Sumpah Simpan Rahsia itu disempurnakan di hadapan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong, Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.

Terdahulu, Istana Negara dalam kenyataannya memaklumkan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah perkenan melantik Pengerusi PH itu sebagai Perdana Menteri ke-10.

Ia sekali gus menamatkan teka-teki selepas lima hari Parlimen berada dalam situasi tergantung berikutan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) pada Sabtu lalu, menyaksikan tiada mana-mana pihak berjaya mendapat majoriti 50 peratus daripada kerusi yang dipertandingkan.

Artikel Berkaitan: