Anwar perlu kemuka bukti dapat sokongan majoriti

Muhyiddin ketika sidang akhbar di ibu pejabat PN pada Khamis.
Muhyiddin ketika sidang akhbar di ibu pejabat PN pada Khamis.
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim perlu mengemukakan keabsahan mempunyai sokongan majoriti daripada ahli-ahli Dewan Rakyat melantiknya sebagai Perdana Menteri ke-10.

Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, bukti tersebut penting bagi mengelak keraguan dan memastikan proses pelantikan itu berpandukan kepada Perlembagaan.

"Demi keyakinan rakyat akan keabsahan Anwar sebagai Perdana Menteri adalah sewajarnya beliau membuktikan mempunyai sokongan majoriti ahli-ahli Dewan Rakyat.

"Ini hendaklah dibuktikan melalui proses yang telah ditetapkan oleh Yang Di-Pertua Dewan Rakyat dalam surat bertarikh 20 November 2022 iaitu dengan mengemukakan surat akuan berkanun (SD) majoriti ahli-ahli Dewan Rakyat," katanya ketika sidang akhbar di ibu pejabat PN di sini.

Pada Khamis, Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan untuk melantik Anwar sebagai Perdana Menteri ke-10.

Istiadat Pengurniaan Suratcara Pelantikan dan Mengangkat serta Menandatangani Sumpah Jawatan sebagai Perdana Menteri telah diadakan pada jam 5 petang di lstana Negara.

Muhyiddin berkata, pihaknya belum memikirkan tindakan lanjut yang akan dilakukan sekiranya Anwar gagal mengemukakan bukti tersebut.

“Tak apa kita nak lihat dahulu, berilah Anwar peluang. Kalau beliau boleh buktikan ada SD. Kami dalam PN mengikut arahan daripada Yang Dipertua (Dewan Rakyat).

Artikel Berkaitan:

“Kalau ada ahli Parlimen yang hendak beri sokongan, mestilah dengan SD dan bukan surat dari langit atau dari mana-mana. Itu semua tak boleh pakai mengikut pandangan saya.

"Kalau hari itu, saya hantar (dokumen) ada 115 nama saja tapi orang berkenaan tidak menghantar surat sokongan, mungkin Istana Negara akan tolak kerana itu arahan daripada Speaker,” katanya.

Muhyiddin berkata, beliau yakin mempunyai kepercayaan majoriti ahli-ahli Dewan Rakyat berdasarkan dokumen SD yang dihantar ke Istana Negara pada Isnin.

Jelasnya, PN telah menghantar surat daripada Setiausaha Agung Pas, Pengerusi Gabungan Parti Sarawak (GPS), Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan Presiden Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM) yang menyatakan persetujuan untuk membentuk kerajaan gabungan.

"Turut dihantar ke Istana Negara ialah 114 surat akuan ahli-ahli Parlimen yang menyatakan kepercayaan tanpa syarat kepada saya untuk dilantik sebagai Perdana Menteri membabitkan 22 ahli dewan Rakyat GPS, enam ahli Dewan Rakyat GRS, satu ahli Dewan Rakyat KDM 10 ahli Dewan Rakyat BN dan dua ahli Dewan Rakyat Bebas.

"Semua dokumen ini telah dihantar ke Istana Negara pada jam 1.28 petang (Isnin) iaitu sebelum masa akhir yang ditentukan untuk parti-parti menghantar dokumen berkaitan ke Istana Negara seperti yang dikehendaki oleh Yang Di-Pertua Dewan Rakyat.

"Setiausaha Sulit Kanan kepada Yang Di-Pertuan Agong telah mengeluarkan surat kepada Setiausaha PN pada hari yang sama mengesahkan penerimaan surat-surat akuan ini," katanya.

Bagaimanapun katanya, lebih kurang jam 1.30 petang Isnin, Istana Negara mengumumkan lanjutan tempoh untuk presiden parti mengemukakan surat akuan untuk proses pelantikan Perdana Menteri sehingga jam 2 petang Selasa.

"Pada jam 10.30 pagi Selasa, Setiausaha Agung PN menghantar satu lagi surat akuan ahli Dewan Rakyat yang memberi kepercayaan kepada saya untuk dilantik sebagai Perdana Menteri.

"Ini menjadikan jumlah ahli Parlimen yang menyokong saya adalah seramai 115 iaitu melebihi majoriti mudah 112 orang untuk membolehkan saya dilantik sebagai Perdana Menteri," katanya.