Lebih RM1.4 juta baiki cerun di Taman Bukit Permai, Ampang

Izham menjawab pertanyaan pada sidang DUN Selangor pada Khamis.
Izham menjawab pertanyaan pada sidang DUN Selangor pada Khamis.
A
A
A

SHAH ALAM - Kerajaan Selangor memperuntukkan sebanyak RM1.471 juta bagi kerja-kerja pembaikan cerun di Taman Bukit Permai, Ampang.

Exco Infrastruktur, Kemudahan Awam, Pemodenan Pertanian dan Industri Asas Tani Selangor, Ir Izham Hashim berkata, peruntukan itu telah diluluskan dan kerja baik pulih sedang dijalankan.

Menurut Izham, cerun tersebut telah diwartakan sebagai kawasan lapang dengan penyelenggaraan cerun berada di bawah tanggungjawab Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ).

"Status baik pulih cerun di Taman Bukit Permai ini mencapai kemajuan 62 peratus," katanya semasa menjawab pertanyaan daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Teratai, Lai Wai Chong berhubung status pembaikan cerun di Taman Bukit Permai, Ampang dan bantuan kepada keluarga mangsa pada sidang Dewan Undangan Selangor (DUN) Selangor pada Khamis.

Menurut beliau, sebanyak RM35,000 disalurkan kepada 70 keluarga terjejas dan setiap mereka mendapat RM500, selain bantuan kerosakan kenderaan membabitkan peruntukan sebanyak RM3,000 membabitkan enam penerima dengan masing-masing mendapat RM500.

"Sumbangan ini daripada Tabung Amanah Negeri Selangor dan juga sumbangan daripada Pemerbadanan Menteri Besar (MBI) Selangor," ujar beliau.

Izham memberitahu, menerusi sumbangan MBI Selangor di bawah program tanggungjawab sosial korporat (CSR) pula menyediakan sebanyak RM10,000 masing-masing kepada empat waris mangsa yang meninggal dunia dengan membabitkan peruntukan sebanyak RM40,000.

"Bagi mangsa yang cedera pula sebanyak RM5,000 diperuntukkan, manakala rumah rosak pula setiap keluarga menerima RM5,000 membabitkan 11 rumah dengan jumlah kos keseluruhan RM55,000," kata beliau.

Artikel Berkaitan: