PGA tahan penghantar rokok, rampas RM1.2 juta rokok seludup

Raiz Mukhliz (tengah) menunjukkan rokok seludup yang dirampas dalam serbuan di sebuah rumah, pada sidang akhbar di IPD Muar, pada Isnin
Raiz Mukhliz (tengah) menunjukkan rokok seludup yang dirampas dalam serbuan di sebuah rumah, pada sidang akhbar di IPD Muar, pada Isnin
A
A
A

MUAR - Pasukan Gerakan Am (PGA) Simpang Renggam menahan seorang lelaki dan merampas rokok seludup bernilai lebih RM1.2 juta selepas melakukan serbuan di sebuah rumah di Naib Kadir, Bukit Pasir, di sini pada Jumaat.

Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Raiz Mukhliz Azman Aziz berkata, suspek lelaki warga tempatan berusia 54 tahun itu diberkas di rumah sewa berkenaan pada jam 2.30 petang.

"Hasil serbuan, polis merampas 395 karton atau 57,000 batang rokok kretek dan 5,553 karton atau 1.07 juta batang rokok putih.

"Nilai rampasan keseluruhan termasuk cukai bernilai lebih RM1.2 juta," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Muar di sini pada Isnin.

Beliau berkata, serbuan dibuat hasil risikan polis dan PGA Simpang Renggam sejak sebulan lalu.

Katanya, bekalan rokok berkenaan diperoleh dari Batu Pahat dan Kuala Lumpur yang didalangi seorang lelaki bernama Ah Meng.

Menurutnya, suspek yang sudah berkahwin dan mempunyai empat anak dipercayai bergiat aktif mengedar rokok seludup sejak setahun lalu.

"Suspek bekerja sebagai penghantar rokok kepada pembeli-pembeli yang merupakan pengusaha kedai runcit di daerah Muar," ujar beliau.

Jelasnya, suspek menyewa rumah itu untuk dijadikan stor penyimpanan rokok sebelum diedar untuk pasaran tempatan.

Suspek direman seminggu bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 135 (1)(d) Akta Kastam 1967, katanya.