Maahad tahfiz perlu RM1.2 juta

Muhammad Sharif menunjukkan bangunan baharu maahad tahfiz itu yang lewat siap berikutan kekangan kewangan.
Muhammad Sharif menunjukkan bangunan baharu maahad tahfiz itu yang lewat siap berikutan kekangan kewangan.
A
A
A

SABAK BERNAM - Maahad Tahfiz Darul Itqan Al-Muhammadi, Batu 40, di sini, memerlukan sekurang-kurangnya RM1.2 juta bagi menyiapkan bangunan dua tingkat yang dalam proses pembinaan.

Pengasasnya, Muhammad Sharif Musa berkata, pembinaan bangunan baharu yang sudah menelan belanja RM800,000 itu mengalami kelewatan berikutan kekangan kewangan.

Menurut beliau, kos keseluruhan projek itu meningkat daripada anggaran kos asal sekitar RM1. 5 juta.

"Projek ini mengalami kelewatan disebabkan dana tidak mencukupi selain kos bahan binaan meningkat hampir sekali ganda," katanya kepada Sinar Harian.

Beliau berkata, pembinaan bangunan maahad tahfiz yang berdaftar di bawah Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) itu nanti menempatkan sebanyak 15 bilik asrama, pejabat urusan, bilik guru dan perpustakaan.

"Selain itu, bangunan itu turut dilengkapi dengan dewan besar, bilik tetamu dan rawatan serta makmal komputer," katanya.

Muhammad Sharif berkata, sebahagian bangunan maahad tahfiz yang menempatkan seramai 104 pelajar lelaki dan wanita dalam dan luar negara itu sebelum ini musnah dalam kebakaran.

"Pelajar kami pada masa ini terpaksa ditempatkan di bangunan sementara sehingga pembinaan bangunan baharu siap sepenuhnya," katanya.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, maahad yang beroperasi sejak tujuh tahun lalu itu yang menekankan disiplin ilmu pengajian al-Quran berjaya melahirkan seramai 25 huffaz sejak penubuhannya.

"Malah kami mengenakan yuran bulanan pada kadar terendah hanya RM280 sebulan dan menanggung sepenuhnya biasiswa kepada fakir miskin, anak yatim dan pelajar luar negara," katanya.

Justeru, katanya, pihaknya memohon jasa baik sektor korporat dan orang ramai tampil menghulurkan bantuan bagi menampung kos perbelanjaan pembinaan bangunan baharu berkenan.

Orang ramai yang ingin mendapatkan maklumat lanjut boleh menghubungi Muhammad Sharif di talian 012-352 4420 atau menyalurkan sumbangan ke akaun Maybank Tabung Pembangunan Darul Itqan (562094054761) atau bank Islam atas nama Maahafd Tahfiz Darul Itqan Al Muhammadi (12056010029782).