18 tukun tiruan dilabuh, kekang pukat tunda haram

KUALA SELANGOR - Kawasan habitat, perlindungan dan pembiakan hidupan marin terus diperkasa apabila 18 unit tukun tiruan dilabuhkan di perairan Laut Gulang-Gulana di sini, sekali gus membantu melindungi perairan pantai daripada aktiviti pukat tunda haram.
Tukun tiruan jenis Dasar Lembut Penghalang Pukat Tunda merupakan program yang menggunakan peruntukan kerajaan Persekutuan dan dijangka memberi manfaat kepada 1,111 nelayan berdaftar di Kuala Selangor termasuk 332 nelayan yang mengendalikan 128 vesel Zon A.
Ketua Pengarah Perikanan, Datuk Adnan Hussain berkata, pembangunan tukun tiruan merupakan usaha berterusan kerajaan dalam memulihara sumber perikanan dan ekosistem marin, di samping menyokong kelangsungan mata pencarian komuniti nelayan.
"Pembangunan dan pelabuhan tukun tiruan ini bukan sahaja menyediakan kawasan perlindungan dan pembiakan hidupan marin, malah membantu melindungi kawasan perairan daripada aktiviti pukat tunda yang tidak dibenarkan.
"Usaha pemuliharaan secara berterusan penting bagi memastikan produktiviti perikanan dan sumber pendapatan komuniti nelayan terus terpelihara." katanya selepas menyempurnakan majlis perasmian program berkenaan di Kompleks Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Kuala Selangor di sini pada Rabu.

Adnan berkata, dengan tambahan 18 unit tukun tiruan baharu, jumlah keseluruhan di perairan Selangor kini meningkat kepada 252 unit iaitu 109 unit di Kuala Langat dan Sepang, Kuala Selangor (97) dan Sabak Bernam (46).
Menurutnya, tukun tiruan menyediakan habitat, kawasan perlindungan dan pembiakan hidupan marin, sekali gus mewujudkan kawasan tumpuan ikan yang dapat meningkatkan peluang hasil tangkapan nelayan.
Katanya, dalam jangka panjang, usaha berkenaan menyokong pemulihan sumber perikanan, produktiviti tangkapan dan kelangsungan pendapatan nelayan.
Dalam pada itu, Adnan memaklumkan, Kuala Selangor merekodkan 20,394.06 metrik tan pendaratan ikan pada 2025, manakala bagi tempoh Januari hingga Julai 2026, jumlah pendaratan telah mencapai 12,141.83 metrik tan.
"Angka ini menunjukkan aktiviti perikanan tangkapan terus menjadi antara penyumbang penting kepada ekonomi komuniti nelayan di daerah berkenaan," ujarnya.
Katanya lagi, bagi keseluruhan di Selangor, jumlah pendaratan ikan pada 2025 direkodkan sebanyak 150,253.51 metrik tan, manakala 64,245.39 metrik tan dicatatkan bagi tempoh Januari hingga Julai 2026.
Beliau berkata, Jabatan Perikanan Malaysia (DOF) akan terus memperkukuh kerjasama bersama agensi berkaitan dan komuniti nelayan bagi memastikan tukun tiruan berfungsi secara optimum dalam menyokong pemuliharaan sumber perikanan, ekosistem marin serta produktiviti dan kesejahteraan komuniti nelayan setempat.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
