Tiada klausa presiden boleh digugurkan

Penganalisis politik berpendapat Ahmad Zahid hanya akan turun jawatan sekiranya tidak mendapat sokongan dua pertiga perwakilan dalam UMNO.
Penganalisis politik berpendapat Ahmad Zahid hanya akan turun jawatan sekiranya tidak mendapat sokongan dua pertiga perwakilan dalam UMNO.
A
A
A

SHAH ALAM - Tiada sebarang klausa atau peruntukan dalam Perlembagaan UMNO yang membolehkan seseorang presiden itu digugurkan daripada jawatan.

Penganalisis politik daripada Universiti Utara Malaysia (UUM), Profesor Dr Mohd Azizuddin Mohd Sani berkata, pemecatan presiden hanya boleh dibuat melalui dua cara iaitu mesyuarat agung luar biasa (EGM) atau meletakkan jawatan.

Menurut beliau, tiada jalan lain sekiranya mahu Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengundurkan diri sebagai presiden.

“Ahmad Zahid akan turun jawatan sekiranya tidak mendapat sokongan dua per tiga perwakilan. Jadi, masa ini (EGM) perwakilan perlu lawan dan pilih siapa yang layak menerajui parti.

“Tidak perlulah keluarkan sebarang kenyataan, tunggu sahaja mesyuarat perwakilan,” ujarnya kepada Sinar Harian pada Isnin.

Mohd Azizuddin
Mohd Azizuddin

Pemimpin-pemimpin UMNO mula mendesak Ahmad Zahid meletakkan jawatan sebagai presiden parti itu susulan prestasi hambar Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Antara pemimpin itu adalah bekas Menteri Perpaduan Negara, Datuk Halimah Mohamed Sadique; Naib Ketua Pemuda UMNO, Shahril Sufian Hamdan; Pengarah Operasi Pilihan Raya BN Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi; Timbalan Pengerusi BN Kulai, Datuk Mohd Jafni Md Shukor dan Exco Pemuda UMNO, Datuk Muhamad Muqharabbin Mokhtarruddin.

Artikel Berkaitan:

PRU15 menyaksikan BN mencatat prestasi terburuknya apabila hanya memperoleh 30 kerusi Parlimen daripada 178 kerusi yang ditandingi wakil gabungan itu.

Ia jauh lebih teruk berbanding PRU14 apabila dalam pilihan raya yang diadakan pada 2018 itu menyaksikan gabungan itu menang di 54 kerusi Parlimen.