Ismail Sabri selesai menghadap Agong

Ismail Sabri melambai tangan kepada petugas media selepas selesai menghadap Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, pada Isnin. - Foto Sinar Harian/ Rosli Talib
Ismail Sabri melambai tangan kepada petugas media selepas selesai menghadap Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, pada Isnin. - Foto Sinar Harian/ Rosli Talib
A
A
A

KUALA LUMPUR - Perdana Menteri sementara yang juga Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob selesai menghadap Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah kira-kira lebih sejam pada Isnin.

Kenderaan membawa Ahli Parlimen Bera itu dilihat keluar meninggalkan Istana Negara melalui pintu satu pada jam 4.15 petang.

Tiada kenyataan rasmi dikeluarkan setakat ini berhubung sesi menghadap tersebut, namun ia dipercayai melibatkan proses pembentukan kerajaan baharu selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Ismail Sabri sebelum itu dilihat hadir sama dalam perjumpaan bersama 26 Ahli Parlimen BN di sebuah hotel di ibu negara di sini, pagi Isnin.

Keputusan rasmi PRU15 pada Sabtu lalu menyaksikan tiada mana-mana parti atau gabungan politik yang memenangi majoriti mencukupi untuk membentuk kerajaan baharu.

Setakat ini, terdapat dua pihak mendakwa mempunyai majoriti mudah 112 kerusi untuk membentuk kerajaan baharu selepas PRU15.

Pada Isnin, Perikatan Nasional (PN) mendakwa telah mengemukakan lebih 112 surat akuan berkanun daripada Ahli Dewan Rakyat yang memberikan kepercayaan kepada Ahli Parlimen Pagoh, Tan Sri Muhyiddin Yassin, untuk dilantik sebagai Perdana Menteri ke-10.

Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Hamzah Zainudin memaklumkan jumlah surat akuan berkenaan mencukupi untuk membentuk Kerajaan Persekutuan baharu.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam sidang media pada Isnin berkata, beliau optimis pakatannya dan BN dapat membentuk Kerajaan Persekutuan.

Katanya, ia selepas beliau berpuas hati dengan perkembangan perbincangan bersama wakil BN di sebuah hotel di ibu negara.

Pada masa sama, Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah memberi perkenan untuk melanjutkan proses mengemukakan gabungan pasca PRU15 bagi pembentukan kerajaan baharu dan pencalonan bakal Perdana Menteri Malaysia ke-10 dilanjutkan jam 2 petang Selasa.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Ahmad Fadil Shamsuddin dalam kenyataan pada Isnin berkata, titah perkenan Seri Paduka Baginda itu adalah susulan daripada permohonan daripada ketua dan gabungan parti politik dan gabungan politik yang telah diterima oleh pihak Istana Negara hari ini.