PRU15: Peratusan keluar mengundi diharap capai 80 peratus

Reezal dan Ismalina menunjukkan jari mereka yang telah bertanda selepas membuang undi di SJKC Pei Yu di Kepala Batas pada Sabtu.
Reezal dan Ismalina menunjukkan jari mereka yang telah bertanda selepas membuang undi di SJKC Pei Yu di Kepala Batas pada Sabtu.
A
A
A

KEPALA BATAS - Calon Barisan Nasional (BN) Parlimen Kepala Batas, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican mengharapkan peratusan keluar mengundi mencapai 80 hingga 85 peratus.

Beliau yang juga penyandang kerusi Parlimen Kepala Batas berkata, berdasarkan pemerhatiannya ketika keluar mengundi di pusat mengundi di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Pei Yu di sini mendapati ramai pengundi muda turun untuk mengundi dan ia merupakan satu petanda baik.

"Ketika saya beratur menantikan giliran saya di saluran empat, saya lihat saluran enam dan saluran tujuh (saluran pengundi muda) lebih panjang.

"Ini menunjukkan pengundi muda keluar mengundi dan ia satu perkembangan yang baik," katanya ketika ditemui selepas membuang undi di sini pada Sabtu.

Sebelum itu, Reezal tiba di SJKC Pei Yu bersama isteri, Datin Seri Ismalina Ismail tiba di pusar mengundi bagi menunaikan tanggungjawab mereka sebagai rakyat Malaysia dan beratur hampir sejam bersama pengundi lain di pusat berkenaan.

Tambah Reezal, kehadiran pengundi di Kepala Batas itu diharap sebagai cerminan representasi yang benar, perasaan dan hasrat mereka.

Seramai 83,081 pengundi berdaftar di Parlimen Kepala Batas yang menyaksikan pertarungan empat penjuru membabitkan Reezal Merican selaku penyandang dicabar tiga calon dari parti lawan iaitu Hamidi Abu Hassan (Pejuang) Dr Siti Mastura Mohamad (PN) dan Danial Abdul Majeed (Muda) yang mewakili Pakatan Harapan.

Pada PRU14 yang lalu, Reezal Merican memenangi kerusi Parlimen Kepala Batas setelah memperolehi 22,459 undi dengan majoriti 4,736 menewaskan Dr Zaidi Zakaria (PKR) yang memperolehi 17,723 undi serta Siti Mastura (Pas) dengan 12,120 undi.

Artikel Berkaitan:

Kerusi Parlimen Kepala Batas merupakan kerusi legasi bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi yang dikuasai BN sejak 35 tahun lalu.