Projek RTS capai 41 peratus

Mohamad Fazli (tengah) melawat sekitar Lebuh Raya EDL pada Ahad.
Mohamad Fazli (tengah) melawat sekitar Lebuh Raya EDL pada Ahad.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Kerja-kerja bagi projek pembinaan Sistem Transit Rapid (RTS) Link yang menghubungkan Johor Bahru-Singapura berjalan lancar dan telah mencapai tahap 41 peratus sehingga 30 Jun 2023.

Menurut Exco Kerja Raya, Pengangkutan dan Infrastruktur negeri, Mohamad Fazli Mohamad Salleh, berdasarkan kepada tahap perkembangan itu, pihaknya yakin kerja-kerja tersebut dilihat mampu disiapkan menjelang 2026.

"Setakat ini, kerja-kerja pembinaan bagi projek RTS ini dah capai tahap 41 peratus.

"Apa pun, secara keseluruhannya, ia masih mengikut jadual," katanya kepada pemberita setelah meninjau keadaan trafik di Lebuhraya Penyuraian Timur (EDL), di sini pada Ahad.

Hadir sama, Pengarah Projek RTS Link, Ir. Zulkifli Mohamed dan Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat.

Mohamad Fazli berkata demikian bagi mengulas, lawatan Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi ke tapak marine viaduct bagi projek berkenaan di Stulang Laut, baru-baru ini.

Malah, Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook Mei lalu, dilaporkan berpuas hati dengan perkembangan pembinaan projek mega itu walaupun berdepan pelbagai cabaran antaranya kerajaan bertukar dua kali termasuk dilanda pandemik Covid-19.

Untuk rekod, RTS yang mula dibina pada 2021 lalu dan dijadualkan mengambil masa empat tahun untuk siap sepenuhnya,

merupakan sistem transit aliran ringan pertama yang dibina di negeri ini yang bakal menjadi pintu masuk utama yang menghubungkan ke Singapura.

Sementara itu, Mohamad Fazli turut berpuas hati dengan perkembangan terkini projek berkenaan yang dilihat banyak telah ke 'hadapan' (siap).

"Walaupun projek ini terbahagi kepada tiga pakej iaitu depot, station dan marine viaduct, ada antaranya yang sudah ke hadapan (proses siap) dan ada sebaliknya," katanya.